SETIU – Pencarian seorang nelayan yang terjatuh ke dalam Sungai Setiu berhampiran Jeti Kampung Baru Penarik di sini berakhir berikutan penemuan mayat mangsa setelah hampir 12 jam dilaporkan hilang.
Mayat Mahamad Haron, 63, dijumpai pasukan mencari dan penyelamat pada pukul 6.40 petang tadi kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi bot gentian kaca mangsa ditemui
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin berkata, mayat lelaki warga emas berkenaan ditemui dalam keadaan terlingkup di permukaan sungai.
“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan hanya memakai baju namun keadaan fizikalnya sempurna.
“Siasatan awal percaya mendapati mangsa mati akibat lemas selepas terjatuh dari bot dinaikinya yang mengalami masalah teknikal,” katanya di sini hari ini.
Afandi berkata, mayat Mahamad telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut dan operasi mencari dan menyelamat berkenaan disertai lebih 104 anggota pelbagai agensi serta penduduk kampung. – KOSMO! ONLINE