fbpx

Mahkamah Jenayah Antarabangsa keluar waran tangkap terhadap Vladimir Putin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VLADIMIR PUTIN

THE HAGUE, Belanda – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kelmarin mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Vladimir Putin dan Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Maria Lvova-Belova kerana memindahkan secara ­haram kanak-kanak Ukraine ke Russia, lapor portal berita UPI.

Mahkamah jenayah tidak diiktiraf oleh Russia dan Amerika Syarikat (AS) itu berkata, pihaknya percaya Putin bertanggungjawab mengusir kanak-kanak Ukraine secara paksa sejak Kremlin mula menceroboh Ukraine lebih setahun lalu.

Lvova-Belova yang bertugas di Pejabat Presiden Persekutuan Russia juga dipersalahkan berhubung pemindahan tersebut, kata ICC

“Undang-undang antarabangsa jelas melarang perbuatan penjajah memindahkan orang awam dari wilayah yang mereka duduki ke wilayah lain.

“Kanak-kanak pula menikmati perlindungan istimewa di bawah Konvensyen Geneva,” kata Pre­siden ICC, Piotr Hofmanski dalam satu kenyataan video.

Hofmanski berkata, kandungan waran tangkap itu masih dirahsiakan kepada umum untuk melindungi mangsa-mangsa. Bagaimanapun, katanya, ICC memutuskan untuk mendedahkan tentang kewujudan waran tangkap berkenaan demi keadilan dan mahu mencegah jenayah serupa daripada berulang pada masa hadapan.

“Ini adalah detik penting dalam proses keadilan ICC. Hakim telah menyemak maklumat dan bukti yang dikemukakan oleh pendakwa raya serta menentukan bahawa wujud dakwaan yang boleh dipercayai terhadap mereka,” tambahnya.

Mahkamah jenayah berpangkalan di The Hague, Belanda itu memberitahu pada Selasa lalu bahawa pihaknya akan meneruskan pertuduhan jenayah perang terhadap Russia kerana menceroboh Ukraine.

Kenyataan ICC itu mengundang teguran segera oleh pegawai-pegawai Moscow yang berkata, Russia tidak mengiktiraf mahkamah berkenaan.

Menurut satu laporan, pertuduhan ICC akan tertumpu kepada penculikan kanak-kanak Ukraine dan tindakan Russia membedil infrastruktur awam sepanjang konflik tersebut berlarutan.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menolak tuduhan itu dan berkata, ICC bertindak di luar bidang kuasanya.

“Kami (Russia) tidak mengiktiraf mahkamah ini dan kami juga tidak mengiktiraf bidang kuasa­nya,” kata Peskov.

Dalam pada itu, portal berita Wion News melaporkan bahawa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memuji keputusan ICC tersebut.

“Ini keputusan bersejarah yang akan membawa kepada akauntabiliti bersejarah. Ketua negara pengganas (Russia) dan seorang lagi pegawainya secara rasmi menjadi suspek dalam kes jenayah perang.

“Dalam kes serupa yang disiasat oleh penguat kuasa undang-undang kami, terdapat lebih 16,000 kes pengusiran paksa kanak-kanak Ukraine oleh penjajah. Namun, jumlah sebenar mungkin lebih besar.

“Adalah mustahil untuk me­laksanakan operasi jenayah berskala besar itu tanpa kata-kata lelaki (Putin) yang menerajui negara pengganas itu,” katanya.

Ketua Kakitangan Presiden Ukraine, Andriy Yermak menulis di media sosial: “ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Putin. Ini baru permulaan.”

Pendakwa raya Ukraine, Andriy Kostin pula berkata, dunia menerima isyarat bahawa rejim Russia adalah penjenayah dan kepimpinan serta pengikutnya akan bertanggungjawab.

Namun, Timbalan Perdana Menteri Britain, Dominic Raab menganggap bahawa perjalanan untuk membawa Putin ke muka pengadilan masih jauh.

Presiden AS, Joe Biden bagaimanapun senada dengan ICC apabila menyatakan bahawa langkah tersebut adalah wajar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI