MANCHESTER – Manchester United perlu melepasi halangan pakar Liga Europa, Sevilla selepas diundi bertemu pada aksi suku akhir bulan depan dalam usaha mengintai peluang ke pentas separuh akhir.
Ia bukan tugas mudah, apatah lagi juara enam kali Liga Europa itu mempunyai rekod yang cukup baik menentang United apabila menang tiga daripada empat pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan.
Jaguh La Liga dari Sepanyol itu juga adalah pasukan yang menyingkirkan The Red Devils di peringkat separuh akhir Liga Europa edisi 2019/2020 menerusi kemenangan 2-1.
Disebabkan itu, pengurus United, Erik Ten Hag mengingatkan para pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Sevilla walaupun lawan mereka itu sedang bergelut dalam saingan domestik.
“Kami perlu berwaspada dengan rekod cemerlang Sevilla. Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar kerana mereka amat berpengalaman dalam saingan Liga Europa.
“Saya tidak mempunyai maklumat jelas mengenai Sevilla. Namun, saya percaya semua pasukan di peringkat ini mempunyai kekuatan tersendiri,” kata Ten Hag.
United mara ke suku akhir selepas menewaskan satu lagi pasukan Sepanyol, Real Betis dengan keputusan 5-1 secara agregat, manakala Sevilla pula mengatasi Fenerbahce 2-1.
Jika menang ke atas Sevilla pada 13 dan 20 April depan, juara Piala Liga England itu akan berdepan pemenang antara Juventus atau Sporting Lisbon di separuh akhir sebulan kemudian. – AGENSI