ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri mendapat peruntukan sebanyak RM296.4 juta daripada kerajaan Pusat bagi membaik pulih jalan persekutuan dan jalan di negeri ini pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Salleh berkata, RM97.4 juta daripada peruntukan itu digunakan bagi membaik pulih jalan persekutuan di jalan Mersing-Johor Bahru, jalan Batu Pahat-Johor Bahru-Muar dan jalan Pontian-Johor Bahru-Batu Pahat-Muar.
Beliau berkata, ketiga-tiga jalan itu tidak pernah diselenggara sejak empat tahun lalu setelah tidak menerima kontrak untuk berbuat demikian sehingga tahun lalu.
“Pada tahun lalu, kita sudah memeterai perjanjian antara pihak pemaju dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapat peruntukan membaik pulih tiga jalan tersebut.
“Bagi jalan persekutuan lain yang mengalami kerosakan, ia masih menggunakan kontrak sedia ada bagi kerja membaik pulih,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Penggal Kedua DUN Johor ke-15 , di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk membaik pulih beberapa jalan negeri di Johor menggunakan peruntukan kira-kira RM124 juta.
Katanya, kerajaan negeri dijangka mendapat peruntukan yang lebih setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan akan meningkatkan pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) bagi tujuan itu pada pembentangan Belanjawan 2023. – KOSMO! ONLINE