fbpx

Jangan kongsi kandungan 3R menerusi media sosial – MCMC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan mahupun pandangan berbaur kebencian membabitkan elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R) di media sosial juga aplikasi pemesejan.

Nasihat itu dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan beberapa insiden melibatkan 3R yang dikesan sejak akhir-akhir ini.

MCMC menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, tindakan itu dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.

Menurutnya, ucapan berbaur kebencian merujuk kepada kata-kata ucapan ataupun gambar yang menuduh, merendah-rendahkan nilai seseorang individu atas faktor perkauman, etnik, agama mahupun kewarganegaraan mereka.

“Sehubungan itu, MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ujar MCMC, tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Jelasnya lagi, pentadbir portal berita dalam talian, media sosial dan aplikasi pemesejan juga digesa menggunakan kuasa editorial mereka untuk menguruskan komen-komen daripada netizen di platform masing-masing.

Katanya, pihak penyedia platform media sosial pula diminta untuk lebih bertanggungjawab dalam menurunkan kandungan-kandungan berbaur provokatif dan berbahaya apabila dikesan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI