fbpx

Insiden menimpa Kamal tiada kaitan isu negara – Hannah Delisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH melihat apa yang berlaku terhadap Kamal minggu lalu sebagai takdir yang telah tertulis.

BANGI – Pelakon Hannah Delisha menganggap insiden serangan yang menimpa Kamal Adli minggu lalu tiada kaitan dengan isu negara, sebaliknya apa yang berlaku merupakan takdir yang sudah tertulis.

Katanya, tidak kira sama ada di Singapura atau Malaysia, kejadian tidak diingini seperti itu boleh saja terjadi di mana sahaja tanpa dijangka.

“Apabila melibatkan keselamatan, kejadian seperti itu turut melibatkan takdir. Kita tak tahu kan perkara mendatang.

“Sekarang ini, kalau saya naik kapal terbang dan jika memang ditakdirkan berlaku kemalangan, perkara sebegitu akan terjadi.

“Jadi bukan disebabkan anda berada di Singapura atau Malaysia, segala kejadian ini membabitkan takdir. Kita pun tak boleh buat apa,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis memperkenalkannya sebagai duta dan pelancaran produk AEDOS Serum keluaran Elegant Cosmetics di Hotel Tenera, di sini baru-baru ini.

Selebriti asal Kota Singa itu berkata demikian mengulas kes membabitkan Kamal yang diserang individu tidak dikenali pada Ahad minggu lalu hingga mengakibatkan suami kepada Uqasha Senrose itu mengalami kecederaan serius di kepala.

Susulan isu yang berlaku di sebuah tapak ekspo Singapura itu, peminat mula mempersoalkan keselamatan di republik berkenaan yang kemudian mencetuskan perbalahan dalam laman maya.

Tambah pelakon drama pelakon Andai Itu Takdirnya itu, dia juga bukan individu tepat untuk memberikan sebarang pandangan atau nasihat berhubung kejadian berkenaan biarpun berasal dari negara itu.

“Bagi saya, itu perkara yang melibatkan peribadi sebab saya pun tak tahu apa yang terjadi selain sebenarnya sibuk dengan kerja.

“Jadi kalau mahu saya bagi pendapat atau nasihat membabitkan insiden itu macam tidak sesuai pula,” katanya.

Sementara itu, mengenai pemilihan sebagai duta produk penjagaan kecantikan berasaskan bahan alami, Hannah, 26, memaklumkan selektif sebelum bersedia menggalas tanggungjawab tersebut.

“Saya mempunyai kulit wajah sensitif, selain obses dengan bahan semula jadi yang kaya sumber asli sekali gus membuatkan saya tertarik dengan produk Elegant Cosmetics ini,” katanya yang menggalas tugas duta selama enam bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI