fbpx

Gempa bumi kuat gegarkan Ecuador dan Peru, 13 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa bangunan runtuh di bandar Machala, Ecuador, hari ini. – AFP

QUITO, ECUADOR – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh selepas gempa bumi kuat berukuran 6.8 pada skala Richter menggegarkan selatan Ecuador dan utara Peru hari ini, lapor stesen penyiaran CNN.

Gempa tersebut berlaku di pekan Balao dan mempunyai kedalaman lebih 65 kilometer, demikian menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Jabatan komunikasi presiden Ecuador berkata, sekurang-kurangnya 11 orang maut di wilayah El Oro dan sekurang-kurangnya seorang lagi di wilayah Azuay.

Sementara itu, Perdana Menteri Peru, Alberto Otarola berkata, seorang kanak-kanak berusia empat tahun meninggal dunia akibat kecederaan pada kepala selepas terjatuh di rumahnya di wilayah Tumbes, yang terletak bersempadan dengan Ecuador, lapor akhbar The Guardian.

USGS mengeluarkan ‘amaran jingga’ dengan menyatakan bahawa angka kematian mungkin tinggi dan kemusnahan berkemungkinan berlaku dalam skala besar.

“Kesan daripada bencana ini mungkin memerlukan tindak balas serantau dan dari seluruh negara,” kata USGS. 

Sementara itu, wakil CNN di lokasi kejadian melaporkan kemusnahan struktur pada bangunan-bangunan di Cuenca, satu daripada bandar terbesar Ecuador. Bandar bersejarah itu disenaraikan dalam senarai tapak warisan dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan dan lapangan terbang di Guayaquil dan Cuenca kekal beroperasi, kata kenyataan pihak berkuasa negara itu. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI