BATU PAHAT – Penduduk di Kampung Seri Gading di sini lebih menumpukan usaha untuk membersihkan rumah selepas banjir, berbanding membuat persiapan untuk anak-anak memulakan sesi persekolahan hari ini.
Seorang penduduk, Roslinda Jaafar, 45, berkata, keluarganya dibenarkan pulang ke rumah semalam selepas 14 hari berada di pusat penempatan sementara (PPS), bertungkus-lumus membersihkan kediaman.
Katanya, kelonggaran yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) supaya murid menggunakan pakaian kokurikulum atau baju sukan sepanjang minggu pertama persekolahan membuatkan keluarganya tidak perlu terburu-buru untuk menyediakan apa yang diperlukan anak-anaknya.
“Tiada sesi pembelajaran dalam seminggu ini juga membantu semua mangsa untuk tidak tergesa-gesa membeli keperluan pembelajaran anak-anak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dia bersyukur kerana dua anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading akur untuk menggunakan pakaian lama walaupun terpaksa dibersihkan semula selepas terendam dalam air banjir. -KOSMO! ONLINE