KLANG – Sebuah perkampungan pendatang asing tanpa izin (PATI) dihuni bangsa Flores dari Indonesia sejak enam tahun lalu dalam ladang kelapa sawit di Taman Perindustrian Air Hitam di sini, digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) malam tadi.
Serbuan bermula pukul 11.30 malam itu menahan 61 PATI termasuk 19 daripadanya adalah kanak-kanak berusia enam bulan hingga 60 tahun.
Pada masa sama, lebih 30 PATI berjaya melarikan diri selepas terjun dalam Sungai Langat Kecil.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penemuan kampung haram ini adalah hasil aduan orang ramai terhadap penempatan tersorok di kalangan PATI selain penggunaan dron.
Katanya, pemeriksaan mendapati hampir 40 buah rumah telah dibina dan didiami hingga 110 PATI serta dikesan mencuri bekalan elektrik dan air.
“Lebih membimbangkan mereka membuang najis menerusi tandas yang dibina sepanjang muara Sungai Langat Kecil selain turut mencemarinya dengan pembuangan sampah sarap hasil aktiviti harian mereka.
“Keadaan ini amat kotor dan memberikan ancaman kesihatan kepada penduduk sekitar terutama denggi, kencing tikus dan kolera,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, malam tadi.
Kata beliau, PATI tersebut juga membina hadangan konkrit dan membiarkan sebuah jambatan terus usang agar perkampungan itu sukar diakses orang luar.
Ujarnya, mereka bertindak bercucuk tanam seperti cili, ubi kayu, pisang, sayur dan memelihara ayam kampung untuk menyara kehidupan.
Malah tinjauan Kosmo! turut mendapati perkampungan itu mempunyai surau, kedai runcit dan gelanggang badminton bagi waktu senggang mereka.
“Rata-rata PATI tersebut bekerja sebagai tukang cuci, tukang kebun dan mengambil upah membersihkan halaman rumah penduduk sekitar.
“Kita percaya mereka memasuki negara ini menggunakan pas pelancong dan terus menetap di sini (selepas tamat tempoh pas tersebut),” katanya.
Hasil pemeriksaan turut menunjukkan tujuh daripada mereka yang ditahan mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Pasport yang dikeluarkan kedutaan Indonesia bagi membolehkan mereka pulang semasa Covid-19 namun tidak melakukannya.
“Kesemua PATI yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/1963 dan akan ditempatkan sama ada di Depoh Imigresen Semenyih atau Bukit Jalil,” katanya.
Khairul Dzaimee menjelaskan status tanah dan pemiliknya sedang disiasat dan laporan lokasi akan diberikan kepada pihak berkuasa tempatan bagi tujuan perobohan seperti dilakukan di Nilai dan Cyberjaya sebelum ini.
Ketika ditanya sama ada berlaku kutipan bulanan di kampung PATI itu, Khairul Dzaimee memaklumkan, berdasarkan pengalaman sebelum ini sememang wujud perkara itu dengan ada individu bertindak sebagai ketua kampung.
“Kita tidak menolak kemungkinan lokasi sebegini dijadikan rumah penampungan PATI untuk tujuan penyeludupan.
“Namun, kesemua masih dalam siasatan. Apa yang pasti, kita sememangnya tidak akan membenarkan kawasan penempatan haram diperluaskan bagi mengelakkan ancaman kepada penduduk,” katanya.
Kosmo! pada 1 Februari lalu melaporkan Jabatan Imigresen menyerbu sebuah penempatan haram PATI Indonesia bangsa Flores di Nilai Spring, Nilai. -KOSMO! ONLINE