JOHOR BAHRU – Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang berlangsung sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru di Hotel New York di sini hari ini ditangguh dan digantung.
Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin berkata, keputusan itu dibuat selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melibatkan perwakilan yang hadir.
“Keputusan ini muktamad kerana jumlah perwakilan yang berdaftar pagi tadi untuk mengundi seramai 523 orang, namun setelah kiraan dibuat jumlahnya mencecah 590 kertas undi.
“Sehubungan itu saya umumkan pemilihan melibatkan Bahagian Johor Bahru kali ini ditangguh dan digantung. Proses seterusnya adalah untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) pusat dan kita tunggu siasatan JPU pusat,” katanya ketika mengumumkan penangguhan dan penggantungan itu selepas kiraan selesai dibuat pada pukul 10.15 malam ini.
Keputusan itu menyaksikan pemilihan melibatkan kesemua jawatan yang dipertandingkan terjejas khususnya jawatan Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta Naib Ketua UMNO Bahagian.
Sementara itu, Pengerusi JPU Johor Bahru, Sonawan Mad Som melafazkan sumpah laknat pihaknya tidak terlibat dengan sebarang tindakan salah laku melibatkan pemilihan bahagian berkenaan.
“Apabila dibuat perkiraan memang ada banyak beza, kalau setakat lima atau enam undi saya tidak terperanjat, tetapi jumlahnya sehingga 30, 40 keping jadi saya sendiri terperanjat kerana kami memang menjaga perjalanan proses. Saya berani sebut memang tiada seorang daripada petugas kami yang membuat kerja bukan-bukan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE