PETALING JAYA – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. bakal menaja 10 pelajar Institut Makanan Malaysia (FIM) bagi biasiswa penuh bernilai lebih RM80,000 bermula Mei ini.
Ketua Komersialnya, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, usaha itu adalah bagi membantu pelajar kurang berkemampuan yang berkeinginan untuk menceburkan diri dalam bidang kulinari.
“Ini adalah satu program komuniti dinanatikan. Ada pelajar yang mahu enjadi cef, tetapi keluarga mereka tidak cukup dana.
“Program ini akan berlangsung selama tujuh bulan dan memfokuskan pada Sijil Masakan Melayu sebab kita hendak terapkan semula hidangan tradisional ini di Malaysia.
“Syarat-syarat yang kita tetapkan adalah mereka mesti dari keluarga yang memerlukan dan berminat menjadi cef,” katanya selepas melancarkan program Food Festival Ramadan Tiberr di FIM di sini, hari ini.
Tambah Jazri, biasiswa penuh itu meliputi yuran pelajaran, sara hidup dan tempat tinggal selama empat bulan pengajian.
Turut hadir Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Ahmad Tajuddin Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif FIM, Norafidah Mohd. Hashim.
Dalam pada itu, Jazri berharap kolabrasi kedua bersama pihak FIM kali ini, para pelajar dapat menggunakan produk-produk keluaran Mahsuri secara menyeluruh.
“Produk Mahsuri mudah, kami ingin buktikan bahawa produk-produk kami sesuai bukan sahaja untuk pengguna di rumah, malah bakal cef.
“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan FIM bagi melancarkan produk baharu. Insha-Allah akan lebih banyak kolabrasi bersama FIM dan kolej kulinari lain,” ujarnya.
Sementara itu, Norafidah berkata, pihaknya bersyukur kerana pihak industri luar seperti Mahsuri Dagang sudi untuk bekerjasama dengan FIM dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan. – KOSMO! ONLINE