GUA MUSANG – Tengku Razaleigh Hamzah berjaya mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian yang disandangnya sejak lebih enam dekad meskipun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
Kemenangan itu mengukuhkan status Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li sebagai Ketua UMNO bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.
Ku Li mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dengan undian sebanyak 453 undi pada pemilihan bahagian itu hari ini.
Beliau mengalahkan dua pencabarnya, Che Mohd. Izani Che Musa dengan 46 undi dan Datuk Saari Lembut yang hanya memperoleh lima undian.
Berdasarkan rekod, Ku Li dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan pada tahun 1962 ketika beliau berusia 25 tahun.
Pada pemilihan kali ini, Ku Li dicabar Datuk Saari dan Che Mohd. Izani sekali gus menerima cabaran buat kali kedua sejak memimpin bahagian tersebut selama 64 tahun.
Beliau kali pertama dicabar untuk mempertahankan jawatan itu semasa pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang pada 2013 oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Bazlan Baharuddin. – KOSMO! ONLINE