fbpx

Kekalkan tambang, kejam cekik darah pekerja kilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADA golongan pengusaha bas sekolah terpaksa beroperasi dalam keadaan hampir rugi bagi memberikan situasi menang-menang antara pelanggan.

GEORGE TOWN – Pengusaha bas sekolah di negeri ini dikatakan terpaksa mengambil keputusan mengekalkan seketika kadar tambang lama bagi perkhidmatan tersebut pada sesi persekolahan 2023/2024 meskipun berdepan dengan kenaikan kos penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan.

Rata-rata pengusaha yang ditemui Kosmo! mengatakan, mereka masih menetapkan harga lama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020.

Seorang pengusaha bas sekolah, Hasni Hamid, 51, berkata, dia belum memutuskan untuk menaikkan harga tambang baharu sebalik mengekalkan dahulu kadar lama RM50 se­bulan bagi perjalanan ke dua buah sekolah yang terletak kurang empat kilometer di kawasan perumahan di Bayan Lepas.

Menurutnya, penetapan harga tersebut dibuat selepas me­nyedari bebanan yang ditanggung golongan ibu bapa ketika ini terutama kos keperluan harian yang semakin meningkat.

“Majoriti ibu bapa murid-murid yang menggunakan per­khidmatan saya ini merupakan pekerja kilang. Saya tidak mahu membebankan mereka dengan kenaikan kadar tambang baharu memandangkan keadaan ekonomi pekerjaan dalam sektor perkilangan antara yang terkesan.

“Tambang sedia ada sudah diguna pakai sejak lima tahun lalu. Cukuplah dengan harga lama meskipun kami berdepan de­ngan kos penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan yang tinggi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha bas sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 50-an memberitahu, dia juga mengambil pendekatan mengekalkan tambang bas sebanyak RM45 seorang bagi perjalanan hanya ke sebuah sekolah sahaja ketika ini.

“Saya kena jaga hati pelanggan-pelanggan yang majoritinya sudah lama menggunakan per­khidmatan van sekolah ini. Kua­liti itu penting daripada kuantiti.

“Hendak dapat untung (naikkan tambang), tetapi nanti pe­langgan lari bagaimana? Lebih baik dapat untung sikit, pelanggan masih kekal dan selesa de­ngan khidmat yang kita beri,” jelasnya yang sudah mengusahakan bas sekolah sejak lebih 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, Kosmo! difahamkan ada dalam kalangan pengusaha bas sekolah di ne­geri ini masih teragak-agak untuk menaikkan tambang baharu antara RM5 hingga RM10 mulai April ini disebabkan bimbang akan rungutan dan kecaman ibu bapa di media sosial sehingga menyebabkan mereka hilang ­‘pe­ndapatan’.

Malah, ada juga yang berdepan dilema memikirkan masa yang sesuai untuk menaikkan tambang tersebut.

Terdahulu, tinjauan juga mendapati, pengusaha yang bercadang mahu menaikkan tambang baharu RM300 untuk jarak perjalanan enam kilometer ke sekolah pada 3 Januari lalu juga masih menetapkan kadar lama iaitu RM260 sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI