ORLANDO, Florida – Seorang isteri dari Orlando dalam negeri Florida menyatakan bahawa dia berasa lebih bahagia berbanding sebelum ini selepas suaminya menjalin hubungan sulit dengan wanita lain, lapor portal berita Daily Mirror semalam.
Selepas mengetahui hubungan sulit suaminya, Charity Craig pada mulanya berasa kecewa tetapi akhirnya memutuskan untuk memperbaiki diri masing-masing selain bertindak memaafkan perbuatan suaminya.
Pasangan itu hidup berasingan selama setahun tetapi akhirnya berdamai selepas masing-masing menjalani terapi dan kemudian memperbaiki semula hubungan mereka.
Charity dan suaminya, Matt bertemu ketika mereka berusia 13 dan 18 tahun serta berkahwin ketika berumur 21 dan 25 tahun pada Januari 2004 tetapi pada 2012, wanita berkenaan mendapati suaminya menjalin hubungan sulit dengan seseorang yang ditemuinya ketika bekerja.
Wanita tersebut berkata, dia menemui banyak mesej teks daripada perempuan lain semasa memeriksa telefon suaminya dan berkata: “Ia cukup mesra. Dia mula bertindak curiga dan saya mula mengintai setiap pergerakannya. Semuanya ‘meletup’ dari situ.”
“Anda tidak boleh menjatuhkan ‘bom tangan’ di rumah anda tetapi ia menjadi perjalanan yang sangat peribadi dan saya pergi serta menjalani terapi (memulihkan hubungan) dan Matt turut melakukannya. Kini kami lebih gembira berbanding sebelum ini.”
Sebagai tindak balas, Charity bersemuka dengan Matt tentang hubungan sulit itu dan dia memutuskan untuk tetap bersama isteri serta anak-anaknya walaupun mempunyai perasaan yang kuat terhadap wanita lain selain bertindak meninggalkan kerjanya termasuk menukar nombor telefonnya.
Matt turut menjelaskan bagaimana mereka kembali bersama: “Kami mempunyai satu tahun penyembuhan sebelum kami merasakan keadaan boleh kembali normal. Saya pergi menjalani terapi dan membaca buku tentang bantuan diri.” – Agensi