fbpx

Hasrat Amir Jahari mampu goncang AJL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERSATUS penyanyi indie, sudah tiba waktu soal para rupa ditolak ke tepi memandangkan bakat Amir Jahari sangat luar biasa baik sebagai penyanyi mahu pun komposer.

LAGU berjudul Hasrat buat pertama kalinya melintasi halwa telinga pada majlis tayangan perdana filem Imaginur beberapa minggu lalu. Sejak detik itu, melodi dan tulisan lirik indah karya tersebut terus melekat dalam minda.

Pernyataan sedemikian barangkali masih terlalu awal untuk disematkan sebagai tanda aras, namun Hasrat dendangan penyanyi dan komposer berbakat besar iaitu Amir Jahari selayaknya (wajib) dicalonkan dalam carta Muzik-Muzik dan kemudian megah dipertandingkan dalam acara berprestij negara, Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi akan datang.

Sebetulnya, Hasrat merupakan antara karya anak tempatan yang singgah ke segenap deria dengan cemerlang. Lagu tersebut sebuah perkongsian yang sangat berbekas buat mana-mana pendengar.

Amir mencuri tumpuan menerusi lagu Hasrat yang sekarang menjadi antara antem atau siulan di bibir khalayak.

Melodi, lirik luar biasa

Dari segi gubahan atau komposisi melodi, Hasrat terkandung kualiti yang sangat ‘segar’.

Amir sememangnya seorang komposer yang luar biasa, cuma selama ini, dia ‘dianaktirikan’. Barangkali berdasarkan faktor fizikal tidak memiliki ketampanan yang menjadi dambaan khalayak.

Kendati pun, satu perkara yang tidak boleh disangkal, dia seorang genius dalam dunia penciptaan lagu.

Banyak karya berstatus ‘deepcut’ yang dizahirkan, namun entah mengapa, dunia ini kadang-kadang tidak adil buat anak seni yang tidak terlalu ‘ke hadapan’ itu.
Melodi Hasrat indah dan pada masa sama sangat ‘mengena’ dengan apa yang barangkali sedang dialami atau dirasai kebanyakan orang.

Berentak perlahan atau ‘mellow’, mungkin buat julung kalinya, lagu nyanyian Amir menyelinap masuk ke dunia komersial.

Kalian semua ada satu tugas iaitu memastikan Hasrat tidak ‘lenyap’ ditiup angin sensasi yang entah apa-apa. Pastikan lagu tersebut berjaya dikenali dan didengari seberapa ramai pendengar. Beri keadilan buat lagu atau penyanyi indie seperti Amir selayak-layaknya.

Menyentuh tentang kualiti lirik dihasilkan, Hasrat membuatkan diri dihimpit rindu yang paling mendasar dan mendalam terhadap orang yang kita sayang.

Liriknya ringkas, namun penuh signifikan yang mencengkam.

‘Mood’ disampaikan melalui lagu membuatkan jiwa meronta-ronta ingin berteriak bahawa rindu adalah rasa hati yang paling sukar dibendung. Kalau dibendung, lagu kuat dan menderas rasa rindu yang terbungkam dalam hati.

Teriak dalam emosi rindu

Buat penulis yang kadang-kadang gemarkan lagu bernuansa ‘galau’, Hasrat membuatkan hati rindu kepada orang-orang tersayang – mereka yang tidak lagi berada dekat dengan kita; mereka yang barangkali tidak tahu keberadaan diri sebenarnya buat orang-orang yang sepatutnya.

Vokal yang dimainkan Amir sangat bersesuaian dengan apa yang diserlah dalam Hasrat.
Nadanya rendah dan tidak perlu pun terpekik-terlolong. Hanya perlu disampaikan atau dirakamkan dengan penuh emosi.

Itulah kuasa muzik. Kuasa yang dilontarkan menerusi Hasrat oleh Amir Jahari – seorang ‘singer-songwriter’ yang luar biasa. Sudah tiba waktunya bakatnya didendang secara adil dan barangkali itu akan berlaku dengan fokus selayaknya atau diletakkan kepada dirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI