fbpx

FAM ada dua pilihan untuk laksana VAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN dan Collina berkongsi idea mengenai pilihan penggunaan VAR pada Liga M sama ada ‘Full VAR’ atau ‘VAR Light’ ketika menghadiri Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai dua pilihan untuk melaksanakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam pertandingan Liga Malaysia (Liga M).

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina tampil berkongsi idea dan FAM kini boleh memilih sama ada mahu menggunakan ‘Full VAR’ yang dilengkapi dengan minimum lapan kamera atau ‘VAR Light’ (kurang dari lapan kamera).

Presiden FAM yang juga Ahli Majlis FIFA, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata beliau memperoleh perkongsian itu semasa menghadiri Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda.

“Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita, iaitu Full VAR yang dilengkapi dengan minimum lapan kamera atau VAR Light. Meskipun Collina mencadangkan Full VAR, namun beliau menjelaskan VAR Light boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.

“Namun, Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan Full VAR jika memilih untuk menggunakan VAR Light,” katanya.

Tambah Hamidin, tindakan susulan akan diadakan oleh FAM, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan unit Pengadil FIFA mengenai penggunaan VAR ini.

Dalam perkembangan lain, pembabitan sulung Hamidin dalam kongres kali ini sebagai Ahli Majlis FIFA turut dimanfaatkan untuk membincangkan dua lagi elemen utama bagi memperkasakan bola sepak negara iaitu membabitkan hal perlawanan antarabangsa Tier 1 FIFA dan pelan menghantar pemain negara berkualiti yang berminat berkelana dengan kelab luar negara.

“Dalam pertemuan ini kita membincangkan potensi kerjasama dua hala terutama buat pasukan kebangsaan mengadakan perlawanan persahabatan di luar negara antaranya Fiji, Montenegro, Cyprus, Sierra Leon dan Rwanda.

“Kita juga membincangkan secara terperinci dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Jepun dan Korea Selatan mengenai pemain negara yang dilihat berkualiti dan berminat untuk dihantar bermain pada liga negara terbabit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI