PETALING JAYA – ‘Cikgu marah dan campak keluar buku-buku yang saya tidak mampu nak bayar’
Demikianlah luahan seorang murid kepada seorang guru, dikenali Cikgu Nida yang berkongsi kisah tersebut menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Ujarnya, keadaan itu berlaku pada salah seorang murid ketika sesi pengagihan beg kepada budak-budak asnaf oleh salah seorang guru lain.
“Dari zaman anak saya belajar dulu guru kedai buku layan ibu bapa dengan muka masam mencuka. Padahal sama-sama guru, tetapi itulah yang membezakan kita ialah adab.
“Bila tanya soalan dah ada jawapan skema, katanya ‘arahan pihak sekolah’. Itu pun kalau pelajar itu masih ada ibu bapa, kalau anak yatim? Budak pun ada perasaan, sedih dengar dia (murid) bercerita,” tulisnya dalam ruangan komen.
Tambahnya, murid itu kemudiannya hanya membeli buku yang dia mampu sahaja dan selebihnya pihak tidak bertanggungjawab tersebut mencampak keluar daripada susunan.
Sehingga kini hantaran tersebut telah mendapat 2,700 tanda suka dan 127 perkongsian sejak dimuat naik pada malam tadi.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai bersimpati terhadap murid berkenaan disamping mengecam tindakan pihak sekolah mahupun guru yang dianggap tidak ‘berhati perut’.
“Kadang-kadang ibu bapa sudah mencuba sehabis baik mana yang perlu didahulukan. Bukan semua tidak cakna dengan pendidikan anak-anak, dengan keadaan ekonomi sekarang,” komen Noryuzalini Yaakub.
“Marah macam mana sekalipun, tidak perlu campak buku-buku. Orang cari duit bukan senang, tambah anak-anak ramai yang sekolah. Buku bukannya murah,” komen Asma.
“Saya pun pernah kena, disuruh beli buku latihan ‘extra’ satu set. Tetapi akhir tahun tidak guna pun. Bukannya kami ini petik duit daripada pokok sahaja,” komen pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE