BAGAN DATUK – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekal memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk setelah diumumkan menang tanpa bertanding pada pemilihan parti tersebut hari ini.
Pengumuman di Bangunan UMNO Bagan Datuk itu juga menyaksikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk dimenangi oleh Datuk Khairuddin Tarmizi, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dipilih sebagai Naib Ketua Bahagian UMNO Bagan Datuk.
Pemilihan UMNO yang berlangsung secara serentak di seluruh negara hari ini menyaksikan 160,000 perwakilan memilih 95 calon yang bertanding Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), lapan calon Naib Presiden dan 10 calon Timbalan Pengerusi Tetap.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyifatkan pemilihan parti tersebut yang berlangsung hari ini sebagai kemeriahan demokrasi biarpun UMNO disifatkan segelintir pihak mengalami kemalapan. – KOSMO! ONLINE