MADRID – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pasukannya gagal menghadirkan peningkatan hingga terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 kepada Real Madrid pada perlawanan timbal balik 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, awal pagi semalam.
Karim Benzema meledak gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-78 sekaligus mengesahkan kejayaan buat gergasi Sepanyol itu ke suku akhir dengan kemenangan 6-2 secara agregat.
“Memang benar kami ke sini untuk mendapatkan tiga gol dan anda memerlukan persembahan istimewa, tetapi kami gagal melakukannya pada perlawanan ini. Ada ketikanya kami berjaya pamerkan aksi baik, namun Real adalah pasukan yang mampu kawal perlawanan dan mereka ada peluang lebih baik.
“Alisson Becker melakukan dua aksi penyelamatan terbaik untuk kekalkan kami dalam perlawanan. Jika kamu mahu layak, kamu perlu bermain dengan lebih baik dan berada pada tahap yang benar-benar bagus.
“Real pasukan yang lebih baik dan itulah sebabnya pasukan mereka mampu layak ke pusingan seterusnya,” katanya.
Pada perlawanan kali ini, Klopp menggunakan formasi 4-2-3-1 bagi memburu jaringan selepas tuan rumah memiliki bekal 5-2 pada aksi pertama di Anfield dan pendekatan itu hampir membawa hasil menerusi dua percubaan daripada Darwin Nunez serta daripada Diogo Jota. – AGENSI