KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi buat pihak mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya memantau rapi keselamatan semasa negara berhubung kenyataan yang akan menganggu gugat keselamatan awam.
“Tahap keselamatan semasa adalah terkawal dan PDRM memberikan komitmen untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan demi memastikan keselamatan kekal terjamin.
“Masyarakat dinasihat agar tidak mengeluarkan atau berkongsi kenyataan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum atau membangkitkan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Acryl, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai sebarang tindakan sedemikian boleh menyalurkannya pada balai polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seluruh pasukan keselamatan agar berwaspada terhadap sebarang usaha oleh segelintir pihak yang mahu menganggu gugat keselamatan dan ketenteraman dalam negara.
Perdana Menteri menegaskan sebarang cubaan mengadu domba, menghangatkan ‘suhu’ kaum serta agama di negara ini tidak akan dibenarkan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan mengenai Projek Artikel 11 Jom Ziarah yang diusahakan oleh Impact Malaysia, pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yang mengundang reaksi negatif dalam kalangan masyarakat.
Program terbabit didakwa seolah-olah mengajak golongan Muslim untuk menziarahi gereja.
Bagaimanapun, Menteri KBS, Hannah Yeoh menegaskan program tersebut tidak melibatkan belia beragama Islam. – KOSMO! ONLINE.