fbpx

Pendekatan Liverpool makan diri – Ancelotti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BENZEMA muncul wira Real apabila meledak gol tunggal perlawanan untuk pasukan itu mara ke suku akhir menewaskan Liverpool. – AFP

MADRID – Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti percaya corak permainan bertekanan tinggi memakan diri buat Liverpool ketika gergasi Sepanyol itu mengesahkan kemenangan 6-2 pada aksi 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Pada aksi kedua di Santiago Bernabeu itu, Karim Benzema menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk menang tipis 1-0 sekaligus menghadirkan kekecewaan buat The Reds kali ketiga berturut-turut termasuk pada perlawanan akhir musim lalu.

Pengalaman Toni Kroos dan Luka Modric jelas menjadi nadi utama Los Blancos di bahagian tengah dan kedua-duanya mampu meredakan pendekatan tekanan tinggi yang cuba diha­dirkan The Reds pada perlawanan ini.

“Sistem tekanan tinggi yang mereka gunakan bawa padah kerana Modric dan Kroos berjaya mengawal dengan baik. Dalam aspek ini, ia telah merugikan Li­verpool,” katanya.

Dalam era Liga Juara-Juara, ini adalah kejayaan ke suku akhir kali ke-19 buat Real dan kurang dua berbanding gergasi Jerman, Bayern Munich yang sudah me­lakukannya sebanyak 21 kali.

Pada perlawanan semalam, Liverpool memiliki beberapa peluang, tetapi Real memperoleh sekurang-kurangnya lima peluang sebelum jaringan Benzema terhasil dan ini adalah kekalahan paling teruk Liverpool di sai­ngan kalah mati di pertandingan Eropah.

Selain itu, Ancelotti juga me­rasakan pendekatan untuk tidak melakukan sebarang pertukaran sebelum jaringan terhasil adalah tepat kerana enggan menggangu rentak yang sedang dilakukan oleh pemain kesebelasan utama.

“Keadaan pasukan agak baik, jadi kami tidak perlu melakukan perubahan. Saya mahu me­lakukan pertukaran jika kami berdepan dengan masalah.

“Dari segi psikologi, apabila sudah ada kelebihan tiga gol, kami boleh menurunkan tahap permainan, tetapi kami tidak mahu melakukannya,” jelas Ancelotti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI