fbpx

Peminat Arsenal perlu bersedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

STIGMA dan realiti yang terpaksa dihadapi peminat Arsenal sebelum ini adalah pasukan mereka sering kali tewas dalam perlumbaan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris biarpun selalunya memulakan musim dengan cemerlang.

Sejak lima musim lalu, kecuali musim 2019/20, Arsenal tidak berdepan masalah untuk mengutip lebih 30 mata dalam 20 perlawanan awal sekali gus menyaksikan mereka sentiasa berada dalam saingan memburu puncak liga, namun tercicir di akhir saingan.

Selepas kali terakhir menjulang gelaran EPL pada musim 2004/2005, The Gunners musim ini nampaknya benar-benar mahu menamatkan penantian panjang bagi kembali meraih kegemilangan.

Kemenangan ke-21 yang diraih daripada 27 perlawanan ketika menewaskan Fulham di Craven Cottage hujung minggu lalu menjadi isyarat bahawa skuad kendalian Mikel Arteta dan para peminat Arsenal sudah perlu bersedia untuk meraikan apa yang mereka idam dan nantikan sejak sekian lama.

Kejayaan itu membolehkan mereka terus mengekalkan kelebihan lima mata berbanding pencabar utama yang juga penyandang juara, Manchester City berbaki 11 lagi perlawanan musim ini yang dianggap paling mencabar buat mereka.

Sebuah agensi kajian dan pengumpulan data dari Amerika Syarikat, FiveThirtyEight dalam dapatan terbaharu yang dikemas kini pada 12 Mac lalu menjangkakan bahawa Arsenal memiliki 59 peratus peluang untuk memenangi kejuaraan musim ini dengan mengumpul keseluruhan 87 mata.

Sementara itu, City pula hanya memiliki 41 peratus peluang untuk mengatasi kedudukan The Gunners dan bakal mengakhiri saingan di kedudukan kedua apabila ketinggalan hanya dengan tiga mata sahaja.

Dalam kajian tersebut juga menunjukkan bahawa dua pasukan gergasi England, Liverpool dan Chelsea bakal terlepas peluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara, namun skuad kendalian Jurgen Klopp dijangka layak untuk beraksi di Liga Europa.

Selepas 30 musim berlangsungnya saingan EPL sejak diperkenalkan pada 1992, terdapat satu trend yang cukup menarik untuk diberikan perhatian iaitu pasukan yang menduduki takhta liga pada perayaan Hari Krismas biasanya akan muncul juara.

Rekod sebelum ini menunjukkan 16 pasukan yang berjaya melakukannya pada Hari Krismas akan muncul juara musim tersebut, tetapi Arsenal pada musim 2004/05 melakukan sebaliknya apabila mereka di kedudukan kedua di belakang Manchester United pada perayaan berkenaan, namun berjaya muncul juara.

Pada perlawanan berbaki, Arsenal tidak berdepan laluan mudah apabila mereka perlu menghadapi beberapa lagi pasukan handalan lain termasuk Liverpool, Newcastle, Manchester City dan Chelsea yang akan cuba untuk menafikan impian besar mereka.

Justeru, para peminat Arsenal ‘diminta’ untuk bersedia bagi meraikan kejayaan yang sekian lama diidamkan atau juga bersedia untuk menerima takdir kegagalan sekali lagi jika terdapat perkara-perkara yang boleh merosakkan kestabilan pasukan berlaku termasuk kecederaan pemain tonggak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI