fbpx

Mahkamah: WhatsApps, bantahan awal pendakwa ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.- Foto oleh SADAM YUSOF/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara dua ahli perniagaan berhubung pemberian wang RM2 juta yang didakwa untuk Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi ketika menolak bantahan awal itu menetapkan permohonan pihak pembelaan didengar pada 23 Mac ini.

Terdahulu, prosiding perbicaraan `kecoh’ seketika apabila kedua-dua pihak bertikam lidah dan saling sindir-menyindir sehingga memaksa Azura `campur tangan’ meredakan suasana yang semakin panas.

Situasi tegang itu bermula apabila Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkeras mahukan supaya permohonan mendapatkan laporan forensik itu didengar serta merta.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah oleh peguam Gobind Singh Deo atas alasan pihak pembelaan belum bersedia kerana baru menerima nota keterangan satu prosiding lain daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.

Pada peringkat itu, Wan Shaharuddin bertepuk tangan sambil mengkritik secara sinis cara pihak pembelaan mengendalikan kes yang disifatkannya suka berdrama.

Tindakan Wan Shaharuddin bertepuk tangan bagaimanapun ditegur oleh Azura sambil memberi peringatan bahawa beliau sedang berada dalam mahkamah.

Gobind yang tidak berpuas hati dengan tindakan Wan Shaharuddin kemudian meninggikan suara dengan menyatakan:

“Inilah amalan dan standard timbalan pendakwa raya yang kita ada sekarang ini. Badan Peguam perlu menegur mereka supaya perkara seperti ini dihentikan.

“Saya ada dokumen yang menunjukkan pihak pendakwaan menyembunyikan bukti keterangan kes ini,” ujar Gobind.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Wan Shaharuddin menyatakan permohonan bagi mendapatkan laporan forensik sebenarnya bertujuan memalukan dan mengugut pasukan pendakwaan.

Ujar beliau, berdasarkan nota keterangan, Gobind membayangkan tindakan saman yang akan diambil yang mungkin merujuk kepada pihak pendakwaan.

Pada peringkat itu, Gobind bangun mencelah dan menyatakan Wan Shaharuddin boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana membuat kenyataan sedemikian.

Terdahulu, Wan Shaharuddin ketika mengemukakan bantahan awal berhujah, permohonan bagi mendapatkan laporan forensik itu wajar ditolak kerana ia tidak relevan dengan fakta dalam perbicaraan itu.

Hujah beliau, isu yang dibangkitkan adalah sama ada wang RM2 juta itu diterima oleh Guan Eng atau sebaliknya.

Wan Shaharuddin berhujah, permohonan itu tidak sesuai dikemukakan pada peringkat ini kerana saksi-saksi pendakwaan belum selesai memberi keterangan.

“Permohonan itu jika dibenarkan akan menjadikan keputusan tersebut pramatang kerana laporan forensik itu tidak merujuk kepada laporan dari Mahkamah Sesyen Shah Alam,” ujar beliau.

Bagaimanapun Gobind berhujah, pihak pendakwaan menyembunyikan bukti keterangan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI