PERNAH mencipta trending dengan lagu rancak Jangan Marah (Baby Sayang) dengan mengutip jumlah tontonan lebih dua juta dalam YouTube, ‘boy band’ Da Unknown kembali mempertaruhkan single terkini.
Diberi judul Cinta Hati, single tersebut merupakan buah tangan ketiga kumpulan yang dianggotai empat anak muda itu iaitu Muhammad Shazrul Affandy, Izmeer Ibrahim, Ameer Nor Azam dan Awangku Zaq Amirul.
Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Shazrul atau mesra disapa Momo berkenaan didefinisikan sebagai sebuah karya yang ‘sweet and sexy’ (manis dan seksi).
Jelas Momo, konsep tersebut selari dengan kisah yang diangkat dalam Cinta Hati iaitu berkisar seorang lelaki yang jatuh hati kepada wanita diminatinya dalam diam.
Menceritakan lanjut tentang karya tersebut, Momo, 21, dia mengambil masa hanya dalam dua jam selepas mendegar dua buah lagu Indonesia dan Korea Selatan.
“Pada awalnya, saya tiada idea buat lagu ini. Selepas mendengar lagu Indonesia dan Korea Selatan, saya terdetik nak mencabar diri hasilkan lagu yang ada elemen baharu dan tidak pernah diterokai.
“Selepas dua jam mengerah idea, alhamdulillah saya berjaya siapkan Cinta Hati yang menjadi lagu paling cepat dihasilkan sepanjang umur hidup,” ceritanya teruja.
Sementara itu, Ameer berkongsi tentang keunikan lagu tersebut yang diyakini mampu mencuri hati peminat kerana melodinya.
“Saya dapat rasakan peminat akan menyukainya. Malah, saya yakin mereka akan berasa diri sedang jatuh cinta walaupun mungkin tidak ada pengalaman itu,” katanya.
Kerjasama erat
Melihat keakraban empat ahli itu dalam media sosial, maka tidak hairanlah Da Unknown mudah mencipta keserasian dalam menyelesaikan kerja dan faham selok-belok dunia nyanyian.
Disebabkan itu kongsi Izmeer, proses rakaman tidak memakan masa lama ditambah pula masing-masing jelas dengan apa yang ingin dilaksanakan ketika penggambaran video muzik.
“Meskipun kami ada visi dan idea berbeza untuk video muzik, tetapi kami berjaya mencapai jalan penyelesaian bagi setiap idea yang dicurahkan.
“Secara peribadi, saya menikmati proses penggambaran video muzik. Boleh dikatakan, ini kali pertama kami berjaya menemui jalan cerita menarik dan tersusun,” ujarnya yang gembira proses penggambaran berjalan lancar.
Mahu karier mereka berjalan lancar serta muzik yang diperjuangkan mendapat sambutan peminat, Zaq meluahkan harapan agar Cinta Hati mampu mencipta fenomena seperti Jangan Marah (Baby Sayang).
“Melodi lagu ini cukup romantis dan akan menggembirakan hari-haru anda. Saya berharap lagu ini akan ‘meletup’ seperti yang dicapai Jangan Marah (Baby Sayang). Semoga Cinta Hati menjadi hadiah terindah kepada anda,” luahnya.
Single Cinta Hati boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.
Video muziknya pula boleh ditonton dalam saluran YouTube Ace Talents.