fbpx

Liga Super: TRW hanya mampu seri 2-2 dengan KL City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Kelantan FC, Afzal Akbar (kanan) mengasak pemain KL City, Haqimi Rosli (kiri) pada perlawanan saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Kelantan FC gagal menggunakan kelebihan bermain di hadapan lebih 6,600 penyokong sendiri selepas terikat seri 2-2 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Kelantan FC bermula garang pada awal perlawanan apabila hampir berjaya membolosi gawang KL City melalui percubaan Miguel Cifuentes seawal minit pertama, namun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol, Muhammad Azri Abdul Ghani.

KL City bagaimanapun terlebih dahulu membuka jaringan melalui rembatan jarak dekat Tchetche Kipre pada minit ke-11 yang menghukum kealpaan barisan pertahanan The Red Warriors (TRW).

Pelawat sekali lagi membuat kejutan apabila Declan Lambert membuat gerakan mengelirukan pertahanan TRW sebelum melepaskan rembatan padu untuk gol kedua KL City pada minit ke-34.

Kem tuan rumah bagaimanapun sedikit lega apabila Kenny Palraj tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-41 sekali gus membolehkan TRW merapatkan jurang jaringan kepada 1-2.

Perlawanan kembali seimbang apabila rembatan kencang pemain gantian, Mohamad Fazrul Amir Md. Zaman yang menerima hantaran lintang Mohamad Ikhwan Yazek menggegar gawang KL City pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 2-2 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Kelantan FC dan KL City menggandakan asakan ke kubu masing-masing dalam usaha mereka memburu kemenangan.

Kelantan FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Mohamad Ikhwan terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan tanpa boleh diganti berikutan pasukan tuan rumah telah membuat lima pertukaran sebelum itu.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan FC kekal di tempat ke-10 manakala KL City di tangga ke-11 carta Liga Super. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI