fbpx

Liga Super: KDA FC tundukkan Kuching City FC 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KDA FC meraikan jaringan gol dalam saingan menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan apabila berjaya menundukkan Kuching City FC 3-0 di Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Peluang pertama tuan rumah hadir pada minit ke-11 apabila sayap import dari Argentina, Manuel Hidalgo berjaya menghantar bola tepat kepada pemain bertubuh sasa dari Serbia, Bojan Ciger yang menanti dalam kotak penalti lawan melalui sepakan percuma.

Tandukan dibuat Ciger bagaimanapun tepat ke dakapan penjaga gol Kuching City, Julian Garcia Schwarzer untuk menafikan kegembiraan awal buat penyokong tuan rumah.

Skrip sama terus dihidangkan kepada penonton selepas itu dengan percubaan merbahaya kedua KDA FC hanya hadir pada minit ke-25.

Melalui percubaan itu, rembatan leret Kapten Sang Kenari, Manuel Ott dari dalam kotak penalti berjaya diselamatkan Julian dengan menjulurkan kaki kirinya bagi mengeluarkan bola.

Kekebalan Julian bagaimanapun terlerai dua minit kemudian setelah pertahanan KDA FC, Mohd. Akmal Md. Zahir secara tiba-tiba hadir dari belakang untuk melakukan rembatan terus dari jarak kira-kira 30 meter.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah hanya memerlukan empat minit saja untuk menambah jaringan, sekali lagi menerusi Mohd. Akmal.

‘Kegilaan’ KDA FC untuk terus menambah jaringan tidak berakhir di situ apabila mereka terus menebak pintu gol pelawat pada minit ke-57.

Gol itu bermula dengan lorongan pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck kepada Hidalgo yang berada dalam kotak penalti lawan.

Sayap lincah bertubuh kecil itu lalu menggunakan kemahiran menggelecek untuk memperdaya seorang pertahanan Kuching City, sebelum melepaskan rembatan leret ke dalam gawang pelawat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI