PETALING JAYA – Rata-rata ibu bapa di beberapa negeri mengambil kesempatan membeli kelengkapan sekolah anak mereka pada saat-saat akhir kerana mahu selesaikan komitmen isi rumah yang wajib dahulu.
Mereka juga lebih gemar membeli di kedai pakaian biasa berbanding pasar raya besar agar boleh tawar-menawar harga.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang ibu, Nor Azlin Shahira Abidin, 37 berkata, dia mengakui membeli kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, tudung, kasut dan stokin di kedai pakaian biasa lebih menjimatkan.
“Berbanding harga tetap di pasar raya besar, kita masih boleh tawar-menawar di kedai pakaian biasa.
“Biasanya boleh berjimat antara RM25 hingga RM40 yang bagi saya agak besar memandangkan mempunyai tiga anak bersekolah,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai pakaian di sini semalam.
Dia menambah, gemar membeli kelengkapan sekolah anak pada saat-saat akhir.
Kakitangan swasta itu berkata, harga boleh ditawar dengan lebih murah kerana peniaga biasanya mahu menghabiskan stok sebanyak mungkin sebelum sesi persekolahan bermula.
Seorang lagi bapa, Yusri Mohamad Shah, 45, dia juga membeli kelengkapan sekolah untuk anak-anak pada saat-saat akhir.
“Sebelum ini, saya membeli dahulu kasut dan beg sekolah menggunakan wang Bantuan Awal Persekolahan. Kena beli sikit-sikit untuk berjimat,” katanya.
Di Selangor, seorang usahawan, Zarul Fizi Sahaari, 38, ketika ditemui berkata, dia bersama isteri dan anak-anak sering membeli barangan sekolah pada saat akhir seperti tahun sebelumnya.
“Kalau beli saat akhir, pada waktu suntuk barulah kita rasa yang sekolah akan bermula tidak lama lagi selain kita sebagai ibu bapa pun bahkan mempunyai banyak urusan serta komitmen yang perlu diselesaikan.
“Kadang-kadang, kita sebagai ibu bapa, perlu peruntukan dan masa yang boleh dijanjikan. Kalau macam saya, saya ada anak perempuan empat orang yang bersekolah.
“Macam tahun lepas, saya habiskan RM2,000 untuk anak-anak yang mana seorang di sekolah menengah dan tiga lagi sekolah rendah,” ujarnya.
Di Pulau Pinang pula, seorang suri rumah, Nor Kamalasari Mohd. Ali, 46, berkata, persiapan sekolah dua anaknya yang berusia tujuh dan 14 tahun kali ini dilakukan secara ala kadar selain perlu mengutamakan membeli buku dahulu.
“Kami beli sikit-sikit, mana yang penting untuk berjimat,” jelasnya.
Seorang lagi ibu kepada tiga cahaya mata, Aina Mardiah Hasan, 38, pula berkata, dia terpaksa mengutamakan keperluan untuk anak bongsunya sahaja yang akan ke Tahun Satu.
“Cuma beli pakaian serba sepasang untuk anak perempuan sahaja, manakala dua abangnya lagi hanya memakai semula pakaian sekolah lama yang masih muat,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE