SHAH ALAM – Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selama 82 minit akibat tersepit selepas lori dipandunya melanggar penghadang batu di Plaza Tol Kemuning di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu menimpa mangsa berusia lingkungan 40-an yang memandu lori 10 tan.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 4.21 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikerah dalam operasi berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah lori melanggar penghadang batu laluan plaza tol tersebut. Pemandu kenderaan itu turut didapati masih tersepit dan mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, lelaki itu berjaya dikeluarkan pihaknya pukul 5.15 petang dan mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO!ONLINE