LONDON – Masa depan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy di Stamford Bridge terus menjadi tanda tanya apabila rundingan mengenai kontrak baharunya dilaporkan menemui jalan buntu setakat ini.
Pemain antarabangsa Senegal itu kembali menjalani sesi latihan penuh bersama pasukan itu minggu ini selepas pulih daripada masalah kecederaan jari yang dialami pada Januari lalu.
Kontrak Mendy bersama The Blues akan berakhir pada 2025, namun dia dilaporkan sudah tidak gembira untuk kekal di London ekoran tidak lagi menjadi pilihan untuk posisi utama apabila pengurus, Graham Potter lebih meminati Kepa Arrizabalaga.
Menurut satu laporkan, pemain berusia 31 tahun itu telah mengadakan perbincangan bersama kelab berkenaan mengenai perjanjian baharu, tetapi hanya terdapat perkembangan yang minimum sahaja.
Pemilik Chelsea, Todd Boehly dikatakan sudah mengarahkan pegawainya untuk mengadakan rundingan bersama para pemain yang menghampiri tempoh dua tahun terakhir untuk diberikan perjanjian baharu sekiranya khidmat mereka masih diperlukan oleh pengurus.
Selepas Potter mengambil alih tugas mengemudi Chelsea, Mendy hanya membuat lima penampilan di bawah kendaliannya apabila dia berdepan beberapa isu kecederaan termasuk masalah bahu dan jari.
Sepanjang ketiadaannya, Arrizabalaga menjadi pemain utama yang mengisi posisi berkenaan sejak September lau dan berjaya membuat 18 penampilan tanpa bolos sekali gus mendapat kepercayaan Potter. – AGENSI