fbpx

Dulu malam, sekarang gajah ‘serang’ kampung waktu siang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KELIBAT seekor gajah yang masuk ke tiga buah kampung semalam hingga menimbulkan keresahan kepada penduduk kerana boleh mengancam keselamatan mereka di Lipis.

LIPIS – Selepas tiga buah rumah penduduk di Kampung Paruh di sini dirosakkan gajah malam kelmarin, penduduk digemparkan lagi dengan kehadiran gajah liar berhampiran kediaman mereka pada waktu siang pula semalam.

Penduduk Kampung Paruh, Bah Pura Bah Sut, 32, berkata, mereka gempar apabila kelibat seekor gajah tiba-tiba muncul berhampiran kediaman mereka pada pukul 6 pagi.

“Pada mulanya saya tidak percaya kerana gajah liar sebelum ini datang pada waktu malam tetapi saya terkejut apabila gajah ber­kenaan muncul pada waktu siang.

“Saya lihat gajah liar itu tidak mempedulikan manusia berdekatan kampung sambil mematahkan tumbuhan kecil sebagai makanan,” katanya di Kampung Paru di sini semalam.

Katanya, selepas melihat kelibat gajah liar berkenaan, dia kembali ke rumah dan bersiap sedia bersama keluarga untuk berpindah sekiranya gajah liar itu menceroboh ke kawasan rumah seperti yang berlaku malam semalam.

Dalam pada itu, rakannya, Kueh Ruding, 66, berkata, ketika hendak ke kebun pisang berhampiran rumah, dia terdengar bunyi kayu dan ranting patah serta bunyi seperti haiwan liar.

“Saya berhenti dan menje­ngah ke arah pinggir hutan, nyata seekor gajah liar sedang mencari makanan dan tidak menghiraukan mereka yang melalui denai kawasan berkenaan,” katanya.

Kueh berkata, usaha pemantauan serta pemindahan gajah liar itu perlu dilakukan segera oleh kerajaan memandangkan haiwan liar berkenaan semakin agresif dengan menghampiri kediaman mereka.

Dalam pada itu penduduk Kampung Simoi Lama, Norfini Ajik, 44, berkata, walaupun ­seekor gajah liar sudah ditangkap dan dipindahkan ke habitat asal tempat lain pada 17 Februari lalu tetapi masih ada lagi gajah liar muncul di kawasan itu.

Katanya, kerajaan perlu lebih cakna dengan konflik haiwan liar itu dengan tidak membiarkan gajah liar lebih agresif sehingga mengancam nyawa manusia ­seperti sebelum ini.

“Malahan, gajah liar ini semakin agresif merosakkan tanaman dan paling menakutkan haiwan liar ini menceroboh serta merosakkan tiga buah rumah di Kampung Paruh, jiran kampung kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI