PETALING JAYA – Modul latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) perlu didedahkan bermula dari peringkat sekolah rendah bagi membolehkan mereka mempunyai asas kemahiran membentuk koordinasi tangan, akal dan pembentukan sahsiah individu.
Pengarah Eksekutif National Digital TVET Innovation Centre (NDTIC), Prof. Dr. Razali Hassan berkata, ia bertujuan membentuk karakter dan menerapkan minat kepada pelbagai jenis pekerjaan profesional apabila memasuki alam pekerjaan.
Katanya, asas TVET penting dalam membentuk kemahiran psikomotor, kognitif dan sikap.
“Kita melihat tekanan kurikulum terlalu berasaskan akademik perlu dikurangkan di peringkat awal kanak-kanak yang mana jika tidak ditangani ia akan memberi tekanan kepada pelajar untuk memahami proses perkembangan pembelajaran yang sebenar.
“Pelajar perlu menguasai kemahiran asas tanpa dibebani dengan pengisian yang terlalu merumitkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kata Razali, penerapan TVET di peringkat sekolah rendah telah lama dilakukan di negara maju seperti Korea Selatan, Jerman, Jepun dan United Kingdom yang bertujuan memberi kesedaran awal dan pengalaman dalam bidang pekerjaan khususnya dalam perkembangan teknologi masa hadapan.
Razali yang juga Profesor Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn menambah, kaedah itu akan membantu pelajar memilih laluan pendidikan yang betul seiring dengan bidang pekerjaan yang ada di pasaran.
“Ia juga mampu menggalakkan peningkatan kemasukan pelajar TVET ke institusi pendidikan tinggi dengan kemahiran-kemahiran yang disediakan,” katanya.