“SELAGI suami reda dan beri sokongan, saya akan teruskan juga.”
Demikian ungkapan yang mendorong perubahan hidup 360 darjah wanita kelahiran Tapah, Perak itu sekitar tiga tahun lalu.
Memperkenalkan diri sebagai Dr. Nurul Nadia Rashid, ibu kepada seorang cahaya mata itu pernah bergelar doktor haiwan sebelum semuanya berubah.
Menurut Nurul, dia tekad meninggalkan kerjaya profesional tersebut kerana yakin perniagaan kecil-kecilan lilin wanginya berjenama Candlenuts mampu pergi jauh dan diterima.
Ujarnya, dia tidak pernah terfikir dek minat mendalam dengan menghasilkan lilin wangi sendiri sebagai hobi satu ketika dahulu mampu menjana pendapatan lumayan.
“Kalau ikutkan minat buat lilin sendiri itu memang ada sejak 2016 lagi. Pada awalnya saya lakukan hanya untuk penuhi masa dan hobi semata-mata, tetapi ada satu hari itu, suami bertanya kenapa saya tidak menjualnya sahaja?
“Dari situlah saya terfikir dan terus cuba menjualnya dalam platform online,” katanya membuka bicara bersama Aura.
Jelasnya, tiga tahun berniaga menjual lilin sehinggalah Jun 2019, dia nekad untuk berhenti kerja dan fokus kepada perniagaannya yang semakin berkembang.
“Setelah memikirkan masak-masak dan lebih daripada lima tahun bergelar doktor veterinar, saya ambil keputusan untuk noktahkan segala-galanya.
“Pada masa itu, saya memang tak menang tangan dan yakin produk keluaran sata berjenama Candlenuts boleh pergi jauh.
“Atas sokongan dan dorongan suami, kami memulakan perniagaan lilin secara sepenuh masa dari rumah sewa selepas saya dan dia sama-sama sepakat berhenti kerja,” ujarnya.
Ditebak mengenai keputusan getir yang diambil sebelum bergelar usahawan berjaya, wanita berusia 32 tahun ini mengakui pernah berada dalam situasi dilema.
Katanya, momen yang paling tidak dapat dilupakan adalah apabila keluarga sendiri langsung tidak menyokong keputusan tersebut dan berulang kali menasihatkannya untuk berfikir secara rasional.
Berkongsi mengenai kejayaan yang dikecapi, Nurul bersyukur meskipun perniagaannya masih baharu, namun berkat usaha gigih tanpa rasa jemu akhirnya membuahkan hasil.
“Alhamdulillah daripada perniagaan ini saya dapat berkongsi rezeki dengan menawarkan pekerjaan kepada orang lain.
“Sehingga kini, syarikat Maximus Aroma Sdn. Bhd. mempunyai 15 orang staf dan lebih 1,500 reseller berdaftar.
“Insya-Allah pada tahun ini, kami menyasarkan untuk menambah bilangan reseller tiga kali ganda menjadikannya 5,000 pengedar secara keseluruhan,” katanya.
Lebih membanggakan, Nurul bersyukur syarikatnya kini mempunyai kilang sendiri berkeluasan 6,000 meter persegi dan merupakan kilang lilin wangi Bumiputera pertama di Malaysia.
“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah. Insya-Allah jika tiada aral melintang, pada tahun hadapan kami akan buka outlet di pusat beli-belah dan sebagainya.
“Kami juga berhasrat mahu lahirkan lebih ramai usahawan berstatus jutawan dengan hanya menjual lilin wangi yang kini menawarkan lebih daripada 30 jenis bauan menarik,” katanya.
Menutup bicara, Nurul menerusi syarikatnya optimis untuk memecahkan rekod jualan sebanyak RM7 juta disumbang dengan kapasiti pengeluaran kilang baharu miliknya itu.