fbpx

Anugerah paling drama milik SLP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMENANGAN pada malam Anugerah Drama Sangat menjadi satu lagi tabda aras pencapaian buat pelakon, karyawan dan naskhah terbabit.

SIAPA sangka, drama Suamiku Lelaki Pendosa (SLP) yang sebelum ini mencetuskan kontroversi dan menjadi buah mulut ramai kerana mengangkat isu cinta kaum sejenis berjaya dinobatkan sebagai pemilik trofi Drama Terbaik Tonton Anugerah Drama Sangat (TADS) 2023 tahun ini.

Bukan satu trofi, drama arahan Eyra Rahman itu turut membolot kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik iaitu Datuk Aaron Aziz dan Pelakon Antagonis Terbaik (Gambit Saifullah).

Mesej drama

Kemenangan SLP terbitan Global Station Sdn. Bhd. bagi kategori Drama Terbaik itu sekaligus mengenepikan karya lain seperti Budak Tebing 2, 7 Hari Mencintaiku 3, Risik Pada Hati dan Ayahanda

Menurut penerbit eksekutifnya, Zetty Alia Ramly, pihaknya tidak pernah menyangka mampu meraih kemenangan besar pada acara tersebut apatah lagi meletakkan harapan tinggi terhadapnya.

“Kemenangan yang tidak terjangka, kami tak pernah meletakkan sasaran untuk menang sebarang anugerah seperti malam ini.

“Kami hasilkan drama ini bukan untuk menindas golongan tertentu tetapi bagi memberi teguran dengan cara baik,” katanya.

Sementara itu, Aaron Aziz mengangap anugerah tersebut seperti satu mimpi menjadi realiti kerana wataknya agak sukar untuk dilakonkan.
Aaron yang kehilangan ibunya pada November 2020 menyatakan bahawa insiden tersebut membantunya menjiwai watak dalam satu babak kerana dialog babak berkenaan sangat berkaitan dengan luahan hati kepada ibunya.

“Bagi membawa watak dalam SLP bukan satu perkara mudah kerana saya perlu menunjukkan perasaan cinta kepada lelaki dan wanita dalam masa sama.

“Ketika penggambaran pula, saya mendapat khabar berita bahawa ibu saya meninggal dunia. Jadi, saya perlu bergegas kembali ke Singapura.

“Selepas kembali menjalani penggambaran, ada babak saya dihalau dari rumah dan dialognya adalah semua perkara yang ingin diluahkan kepada ibu saya,” ujarnya.

Dedah Sophia Albarakbah yang digandingkan bersama Aaron dalam drama tersebut, dia pertama kali memegang watak heroin dan banyak dibantu rakan artis lain menjayakan watak Cahaya Malaika.

“Ini watak pertama saya menjadi heroin bergandingan bersama Aaron Aziz. Pada awalnya agak risau dan gugup tetapi setelah dibimbing pelakon lain saya okey.

“Sebagai pelakon baharu, watak ini banyak melakukan aksi menangis kerana terlalu banyak drama dan konflik dalam hidup.

Hadiah 16 tahun

Sementara itu, kemenangan Ummi apabila dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Risik Pada Hati disifatkan sebagai kenangan manis yang dirasai olehnya sepanjang 16 tahun bergerak anak seni.

“Saya rasa kemenangan sangat manis kerana perjalanan saya sebagai pelakon selama 16 tahun tidak mudah untuk mendapatkan anugerah ini.

“Meskipun menang saya akan teruskan buat yang terbaik selepas ini kerana tidak mudah,” ujarnya.

Enggan terlalu bermegah, dia memandang anugerah pertamanya itu sebagai titik permulaan untuk terus memberi hasil kerja lebih berkualiti sekaligus meninggalkan impak kepada penonton.

“Ini titik permulaan untuk saya bekerja lebih keras selepas ini.

“Sebelum ini tidak pernah dapat anugerah tetapi saya tidak terkilan sebab merasakan kerja-kerja saya tidak cukup bagus. Kini Tuhan beri nikmat ini pula,” luah pelakon berusia 33 tahun itu.

‘MeerNa’ kekal popular

Drama Melur Untuk Firdaus yang menjadi fenomena berjaya membawa pulang trofi Pelakon Wanita Popular milik Anna Jobling, Pasangan Drama Terbaik dan Drama Adaptasi Novel Terbaik.

Teruja dengan kemenangan tersebut, Anna berkata, keserasiannya bersama Meerqeen sehinga digelar ‘meerNa’ membuatkan mereka berjaya merangkul anugerah tersebut.

“Mungkin disebabkan keserasian yang dibina sangat kuat.

“Kemenangan ini membuatkan kami lebih teruja bagi Melur Untuk Firdaus 2 nanti,” kongsinya.TADS 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad lalu menampilkan Sharifah Shahira dan Sherry Alhadad sebagai hos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI