fbpx

Aaron-Wooi Yik tewas awal pada All England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON-WOOI YIK sudah menampilkan aksi cukup baik, namun sedikit kesilapan telah meranapkan hasrat untuk meraih gelaran pada All England kelmarin.

BELUM sempat untuk mengubat duka tersingkir di pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman di Mulheim minggu lalu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terluka lagi.

Kali ini, juara dunia itu menerima tamparan lebih hebat apabila terpaksa meninggalkan kejohanan Seluruh England (All England) seawal pusingan pertama selepas tewas 18-21, 21-14, 13-21 kepada wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin malam kelmarin.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky tanpa berselindung mengakui kecewa dengan keputusan tersebut, namun akur dengan kelebihan dimiliki pemain lawan.

Beliau berkata, secara keseluruhan Aaron-Wooi Yik sudah menampilkan aksi cukup baik pada perlawanan itu, namun sedikit kesilapan sahaja meranapkan hasrat mereka untuk meraih gelaran pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 tersebut.

“Siapa pun akan kecewa, bukan saya sahaja, malah pemain turut merasakannya. Apa yang paling saya kesal adalah aksi di set pertama kerana kita mengawal permainan tetapi agak perlahan ketika mata penting.

“Kita hanya lebih banyak bertahan berbanding memberi tekanan kepada pasukan lawan. Bagaimanapun, aksi di set kedua kita bermain dengan bagus dan menang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kekalahan Aaron-Wooi Yik boleh dianggap sebagai keputusan yang mengejutkan memandangkan beregu No.2 dunia itu tidak pernah tewas kepada Carnando-Marthin dalam empat pertemuan terdahulu.

Dalam pada itu, Rexy percaya Aaron-Wooi Yik sedikit tersentak pada set penentuan apabila pemain lawan terus memberi tekanan dan tidak membenarkan mereka untuk melakukan serangan.

“Pada set ketiga, Aaron-Wooi Yik agak terkejut apabila Indonesia lebih banyak menekan dan tidak benarkan kita untuk ke depan jaring. Kita cuba untuk perlahankan tempo mereka tetapi di situlah berlaku kesilapan.

“Dari situ, Indonesia dapat kelebihan dari segi psikologi dan langsung tidak berikan ruang kepada kita. Saya fikir set ketiga kita bermain terlalu memaksa dan itu bukan permainan sebenar Aaron-Wooi Yik,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI