KOTA TINGGI – Jalan Persekutuan FT140 Jalan Bukit Buluh (Tiongnam) bakal menjadi ‘litar halal’ bagi peminat motosikal dan kereta untuk menguji kehebatan kenderaan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, beliau akan memohon kebenaran Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengadakan acara ujian masa kenderaan di jalan berkenaan.
Menurutnya, permohonan itu rentetan kejayaan penganjuran Program Pengerang Time Speedo yang mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung.
Program yang melibatkan kategori motosikal dan kereta itu pertama kali dianjurkan di Pengerang mendapat penyertaan lebih 500 peserta dari dalam dan luar daerah ini.
“Jalan awam di bawah JKR ini kita akan mohon untuk dijadikan litar tetap bagi acara time speedo, kami harap JKR akan dapat terima permohonan kami serta meluluskannya.
“Permohonan itu bukan untuk menjadikan jalan tersebut sebagai litar berlumba, tetapi platform menguji masa sahaja,” katanya baru-baru ini.
Aznan berkata, program yang mahu dianjurkan itu juga bukanlah untuk menghalalkan kegiatan haram seperti aktiviti perlumbaan, sebaliknya bagi menyediakan landasan yang betul kepada peminat motosikal dan kereta untuk menguji kehebatan kenderaan mereka.
“Yang haram kita tidak halalkan, bahkan kita tahu kebanyakan anak muda berlumba di tempat awam. Oleh itu kali ini kita bawa mereka dalam trek, ikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul terutama soal keselamatan dengan kelulusan pihak berkuasa.
“Lebih penting melalui program ini juga kita mahu melahirkan seorang pelumba motosikal yang hebat dari Pengerang sama ada di peringkat negara atau antarabangsa,” ujarnya.