SERDANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tender bagi semua projek-projek besar termasuk projek penyelenggaraan pengangkutan awam perlu diberikan kepada syarikat yang layak berdasarkan kepada keupayaan dan rekod prestasi mereka.
Katanya, proses tender projek itu harus dilakukan secara telus bagi mengelakkan berlakunya ketirisan wang rakyat sekali gus tindakan tersebut dapat menjimatkan dana awam.
Tambah Anwar lagi, jika perkara itu dapat dilaksanakan, ia menyebabkan kos projek termasuk pengangkutan awam lebih kompetitif apatah lagi nilainya yang menelan kos berbilion ringgit.
“Tetapi jika diurus dengan tidak terurus, ratusan juta akan bocor ke parti lain, akaun perseorangan yang menyebabkan negara mengalami ketirisan.
“Tetapi jika dapat jimatkan dengan ketelusan pelaksanaan kemudahan awam dapat diperbaiki dan dapat memberi keselesaan kepada rakyat. Ini apa ditekankan dalam Kerajaan Perpaduan dalam Konsep Madani hari ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE