PETALING JAYA – Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang sepatutnya berlangsung hanya satu malam di Axiata Arena Bukit Jalil, telah ditambah menjadi dua malam iaitu pada 10 dan 11 Jun 2023.
Pihat penganjur, Hitman Solutions telah membuat keputusan untuk menambah bilangan hari konsert menjadi dua malam selepas mendapat sambutan hebat peminat apabila lebih 10,000 tiket yang dijual untuk tarikh konsert pada 10 Jun ‘licin’ dalam masa 24 jam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, penambahan dibuat kerana pihaknya enggan mengecewakan peminat yang gagal membeli tiket pada tarikh 10 Jun .
“Atas permintaan ramai yang menghantar mesej langsung dan ciapan dalam Twitter, kami memutuskan menambah satu malam lagi untuk konsert Ella.
“Kami akan merealisasikan perkara ini khusus buat peminat Ella,” katanya.
Sementara itu, Ella menerusi hantaran yang dikongsikan dalam Instagram miliknya turut berkongsi berita gembira tersebut buat peminat yang terasa kempunan untuk menyaksikan konsertnya.
“Assalamualaikum. Sempena 35 tahun penglibatan saya di pentas industri seni, saya dedikasikan buat anda semua.
“Atas permintaan ramai, insya-Allah saya sudi dan penuhi semua permintaan demi perjalanan dan sejarah kita bersama.
“Jadi konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota 2.0 juga akan berlangsung pada 11 Jun 2023,” tulisnya.
Penjualan tiket bagi malam kedua akan dijual hari ini (Khamis) bermula pukul 12 tengah hari menerusi www.hitmanlive.com.
Semalam Ratu Rock negara itu menitiskan air mata terharu apabila lebih 10,000 tiket Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota habis disambar peminat dalam tempoh 24 jam dijual secara online.
Katanya, dia tidak menyangka sokongan peminat sebegitu hebat hingga senario tersebut mencatatkan sejarah sebagai jualan tiket artis Malaysia paling laris pernah dianjurkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Tiket konsert yang mula dijual dalam talian bermula jam 12 tengah hari kelmarin habis separuh hanya dalam tempoh dua jam sahaja.
Bagaimanapun, penjualannya dihentikan sementara apabila lebih 25,000 pembeli membanjiri laman web sehingga mengakibatkan proses pembelian tergendala seketika. – KOSMO! ONLINE