fbpx

Rakyat Malaysia sukar tidur sebab suka tengok telefon, beli online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kurang tidur dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan kronik.

Ramai rakyat Malaysia pastinya kurang tidur, kajian pada 2019 mendapati 51 peratus pekerja di negara ini mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk tekanan dan tidur tidak mencukupi adalah satu daripadanya.

Pakar-pakar berkata, kurang tidur dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan kronik. Ia termasuk risiko sakit jantung, buah pinggang, tekanan darah tinggi, murung, ‘moody’, cenderung terlibat dalam kemalangan dan banyak keburukan lain.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC), lebih satu pertiga daripada sekitar 258 juta penduduk dewasa di Amerika Syarikat (AS) mengalami sindrom kurang tidur. Angka tersebut di AS sahaja.

Di seluruh dunia pula, bilangan orang yang kurang tidur di tentu jauh lebih besar.

Kajian lain, juga di AS, mendapati bahawa ekonomi terbesar dunia itu mengalami kerugian mencecah hingga AS$411 bilion (RM1.84 trilion) setahun berikutan kehilangan produktiviti disebabkan rakyat kurang tidur.

Menyedari kepentingan tidur, sebuah jawatankuasa yang sebelum ini dikenali sebagai Persatuan Tidur Sedunia mengadakan sambutan Hari Tidur Sedunia yang disambut esok bagi tahun 2023.

Kedengaran kelakar dan ramai rakyat di negara ini tidak mengetahui tentang Hari Tidur Sedunia. Namun demikian, hari berkenaan telah disambut sejak 2008 di lebih 70 buah negara.

Sambutannya bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang waktu tidur mencukupi iaitu sekitar tujuh jam untuk orang dewasa dan sekurang-kurangnya lapan jam bagi kanak-kanak, apatah lagi, zaman moden ini penuh dengan pelbagai halangan, masalah, tekanan dan hiburan menyebabkan kita semua kurang waktu tidur.

Hari Tidur Sedunia juga bertujuan membawa orang ramai termasuk pengamal perubatan dan pakar untuk membincangkan masalah tidur, membantu mencari penyelesaian dan mencegah masalah tersebut.

Menurut laman Facebook Kementerian Kesihatan yang menyiarkan hasil kajian Nielsen Malaysia, purata rakyat negara ini tidur selama enam jam sehari, manakala hampir 11 juta orang mengalami masalah sukar tidur pada waktu malam dan empat juta daripada mereka mengalami insomnia.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah kajian mendedahkan bahawa enam daripada 10 rakyat Malaysia sukar tidur kerana masalah yang mereka sendiri cipta.

Menurut kajian sama, gajet, tidak kiralah sama ada telefon pintar, komputer riba atau tablet, menjadi punca kepada masalah tidak dapat tidur.

Melihat kepada generasi masa kini yang obses dengan gajet tanpa mengira usia dan latar belakang, kempen kesedaran perlu diadakan menekankan keperluan tidur yang cukup dan tidak melayari telefon pintar atas katil.

Apatah lagi ketika ini, ramai pesohor media sosial dan penjual mengadakan sesi jualan online termasuk memberikan harga istimewa pada lewat malam hingga awal pagi.

Putaran malam dan siang menjadi petunjuk bahawa manusia perlukan rehat pada waktu malam. Kepada mereka yang mengalami masalah sukar tidur kronik, cubalah dapatkan bantuan pakar.

Tidur bukan perkara enteng, penulis mengucapkan selamat hari tidur sedunia kepada pembaca.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI