SHAH ALAM – Operator air beberapa negeri sedang mengusahakan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sebagai sumber air mentah alternatif ketika kecemasan seperti kemarau berpanjangan.
Kewujudan kolam takungan itu bertujuan memastikan loji boleh terus beroperasi walaupun berdepan situasi tidak dijangka.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, usaha itu dilakukan sebagai kaedah menyambung bekalan air yang terjejas akibat henti tugas loji adalah lebih mencabar daripada penyambungan semula bekalan elektrik.
“Kalau peralatan elektrik yang terjejas telah selesai dibaiki, kita hanya perlu tolak atau tekan suis bagi menghidupkannya semula dan perkhidmatan akan pulih dalam tempoh yang segera. Berbeza dengan sambung semula bekalan air kerana ia melibatkan proses dan jumlah.
“Bila loji telah beroperasi (selepas dihenti tugas akibat pencemaran) air mentah perlu melalui proses rawatan semula sebagaimana biasa dan beberapa proses lain perlu dibuat termasuk imbangan sebelum air dapat kembali dibekalkan.
“Bukan buka paip terus dapat air kerana jarak kediaman dari loji atau tangki simpanan turut memainkan peranan,” ujarnya.
Jelasnya, bekalan alternatif perlu diambil perhatian lagi kelangsungan bekalan air.
Sementara itu, beliau mengharapkan keprihatinan masyarakat lebih tinggi dalam membuat sebarang laporan terhadap premis-premis yang memperoleh bekalan air secara tidak sah.
“Secara mudahnya, majoriti kita lebih memilih untuk tidak ambil peduli bagi mengelak persengketaan (dengan pencuri air).
“Jika aktiviti ini dibiarkan bakal memberikan kesan kepada komuniti dan sepatutnya kita lebih cakna dengan melaporkan kepada SPAN,” tegasnya.