PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan perkhidmatan Tan Sri Razarudin Husain sebagai Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) disambung secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa hari ini hingga 15 Mac 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri dan atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
“Penyambungan perkhidmatan secara kontrak ini termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Razarudin, 60, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor dan berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia serta pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
“Beliau memulakan tugas pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah sebagai pegawai penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan itu sehingga 1996 dengan pangkat Asisten Superintendan di Muar, Johor.
“Beliau kemudian dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada 1997,” ujar beliau.
Pada 1998, Razarudin kembali bertugas di Muar sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di bahagian sama sebelum ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Kluang pada 2000 dan menyambung pengajian di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras.
“Kemudian beliau ditempatkan di Kedah dan dinaikkan pangkat ke Deputi Superintendan dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat selama tiga tahun.
“Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintendan kemudian menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan dinaikkan pangkat ke Asisten Komisioner sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman,” jelasnya.
Selepas dinaikkan pangkat kepada Senior Asisten Komisioner, Razarudin menjawat jawatan Timbalan Komander Special Task Force On Organise Crime (STAFOC), Skuad Taktikal Khas 1 Jenayah Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ.
“Beliau dinaikkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan Ketua Polis Perak.
“Pada September 2020, beliau menjawat jawatan Pengarah JSJN Bukit Aman dan pada Disember 2021 dilantik sebagai Timbalan KPN,” katanya.- KOSMO! ONLINE