PETALING JAYA – Seorang lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan berkongsi cara menggunakan telefon bimbit membuatkan orang ramai berasa kagum.
Menerusi perkongsian satu video TikTok, pemuda tersebut dikenali sebagai Loh Boon Keat menunjukkan cara menggunakan ‘braille keyboard’ dengan menyentuh skrin telefon, malah dia melakukannya begitu pantas.
“Ada yang tertanya macam mana kami ‘blind’ (buta) menaip. Sesetengah orang boleh pakai ‘braille keyboard’ dan macam saya pun boleh (guna).
“Jadi apa itu ‘braille keyboard’, timbul atas skrin? Boleh raba? Kalau itu lain, itu ‘braille display’, tapi saya tak cover dalam ni (tak jelaskan dalam video) sebab saya tak ada. Harga ‘braille display’ minimum RM2,000 atau RM3,000.
“Untuk ‘braille keyboard’ ini kita susun jari atas skrin dan menaip seperti mana orang guna mesin braille,” katanya pada video tersebut.
Dalam video itu, Boon Keat yang telah memeluk agama Islam sejak enam tahun lalu menunjukkan cara dia menaip selain melayari media sosial Facebook termasuk membaca komen dan membalasnya.
“Kalau orang dah biasa guna ‘braille keyboard’, dia boleh taip sambil jalan. Cuma bahaya kalau katalah orang tarik telefon,” ujarnya.
Sementara itu, pengguna media sosial memuji pemuda tersebut, malah tidak terkecuali kagum dengan penerangan Boon Keat yang disifatkan seperti pengacara.
“Bijak brother ni. Jelas sebiji-sebiji perkataan. Sedap dengar dia cakap, boleh jadi pengacara atau pembaca berita,” kata Mohdsahrinizwan.
“Aku taip keyboard pun tak laju macam ni. Power, Allah Maha Besar,” ujar HafizHassan1983.
“Itu yang dikatakan ciptaan Allah itu sempurna. Kita hanya lihat dengan mata, tidak dengan hati,” ujar Sadhri.OKCS. – KOSMO! ONLINE