fbpx

Liga Super: KDA FC mahu terus bangkit tewaskan Kuching City FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain KDA FC diminta meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Kelantan United FC pada Isnin lalu. - Gambar hiasan ihsan KDA FC

ALOR SETAR – Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Mohd. Nafuzi Zain meminta anak-anak buahnya supaya meneruskan momentum kemenangan kemenangan ketika menentang Kuching City FC di Stadium Darul Aman, di sini malam esok.

Sang Kenari bangkit daripada dua kekalahan selepas mencatatkan kemenangan ketika bertemu Kelantan United FC pada Isnin lalu.

Kata beliau, pemain perlu memberi fokus 100 peratus dan tidak lagi melakukan kesilapan mudah yang dilihat menjadi punca kepada kebanyakan jaringan lawan sebelum ini.

“Dalam keadaan sekarang, saya mahu pemain sedar bahawa mereka perlu menggunakan setiap peluang yang ada dan tidak melakukan kesilapan mudah.

“Saya juga mahu mereka ‘settle down’ secepat mungkin dalam perlawanan kerana perkara sebegitu akan menyebabkan kita berada bawah tekanan.

“Apabila itu berlaku, mulalah kita berada dalam keadaan kelam-kabut dan apa yang dirancang tidak menjadi,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya, pemain diminta berusaha untuk mencapai kemenangan tetapi jangan terlalu ‘memaksa’ atau dalam erti kata lain terlampau gelojoh untuk membuat asakan.

“Paling penting, usah ulangi kesilapan mudah yang menyebabkan pintu gol kita dibolosi seperti sebelum ini. Saya faham ada dalam kalangan pemain yang mungkin jarang beraksi pada musim sebelum ini masih ‘terkejut’.

“Mereka dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan suasana termasuk di Darul Aman tetapi mereka harus segera tenang ketika penyokong sentiasa menjadi tulang belakang untuk menaikkan semangat pasukan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Nafuzi berkata, pertemuan menentang pasukan dari bumi kenyalang itu dijangka tidak mudah apatah lagi Kuching City dibimbing oleh individu yang dianggapnya sebagai ‘sifu’ dalam dunia kejurulatihan.

“Walaupun kedudukan Kuching City berada di bawah kami dalam carta Liga Super kini, namun itu tidak bermakna mereka merupakan lawan mudah.

“Kita tahu setiap pasukan yang berkunjung ke Darul Aman sentiasa memberikan usaha tambahan dan komitmen penuh bagi memberi kesukaran kepada KDA FC,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI