fbpx

Lapangan Terbang Changi terbaik dunia tahun 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air terjun dalam bangunan setinggi 40 meter menjadi mercu tanda kebanggaan Lapangan Terbang Changi. – Adobe Stock

SINGAPURA – Lapangan Terbang Changi di Singapura kembali merampas kedudukan sebagai lapangan terbang terbaik dunia bagi tahun 2023 selepas jatuh  beberapa kedudukan sepanjang dua tahun lepas, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Berdasarkan senarai baharu laman web ranking dan ulasan lapangan terbang  Skytrax,  lapangan terbang antarabangsa tersebut sebelum ini mendahului senarai sama  selama lapan tahun.

Ia bagaimanapun jatuh beberapa kedudukan pada 2021 dan 2022 berikutan kemerosotan dalam bilangan penumpang akibat pandemik Covid-19.

Menurut jurucakap Skytrax, Peter Miller, Lapangan Terbang Changi menawarkan ‘sesuatu untuk setiap orang’ dan ia menjadi pemacu kepada popularitinya yang berterusan.

Antara yang menarik di kemudahan itu termasuk air terjun dalam bangunan setinggi 40 meter,  taman rama-rama dan pawagam IMAX selain lebih 280 ruang runcit dan restoran.

“Lapangan Terbang Changi adalah  lapangan terbang transit utama dan daripada maklum balas pelanggan, ia merekodkan prestasi yang baik kerana menawarkan pelbagai kemudahan untuk semua jenis penumpang termasuk keluarga, perniagaan serta pelancong,” kata Miller.

Berada di tempat kedua dalam senarai Skytrax tahun ini adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Qatar yang turut menawarkan pelbagai kemudahan untuk penumpang transit.

Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo atau lebih dikenali sebagai Haneda berada di tempat ketiga dan diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di Korea Selatan serta Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris. 

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berada di tempat ke-67 senarai 100 lapangan terbaik di dunia tersebut. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI