KUALA LUMPUR – Tiada lagi kelibat wakil Malaysia dalam acara beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) 2023 selepas gandingan profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tersingkir di pusingan kedua sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, gandingan No.8 dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana apabila tewas dalam aksi straight set 18-21, 18-21.
Meskipun memulakan perlawanan dengan aksi positif, namun ia masih belum mampu untuk menghalang kemaraan Shohibul Fikri-Bagas ke pusingan suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok.
Pada awal set pertama, Ee Yi-Yew Sin terlebih dahulu mendahului permainan 11-7, namun pemain lawan menunjukkan semangat juang tinggi apabila bangkit mengejar sebelum menang 21-18 dalam tempoh 17 minit.
Memasuki set kedua, Ee Yi-Yew Sin menampilkan aksi lebih agresif selain cuba memberi tekanan terhadap beregu No.12 dunia itu dan ia berhasil apabila mereka berjaya mendahului dengan jurang mata agak besar 9-4.
Bagaimanapun, situasi sama kembali berulang apabila pemain Indonesia melakukan kebangkitan pada pertengahan set kedua, seterusnya menang 21-18 bagi menempah slot di pentas suku akhir.
Menerusi keputusan itu, hasrat Ee Yi-Yew Sin untuk melangkah ke suku akhir buat kali ketiga musim ini tidak kesampaian selepas melakukannya pada kejohanan Terbuka Malaysia dan India Januari lalu.
Bagi aksi suku akhir esok, Shohibul Fikri-Bagas kini menantikan pemenang antara satu lagi gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang akan turun menentang beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE