JOHOR BAHRU – Sekumpulan individu bertindak melanggar kenderaan dipandu peniaga sebelum menyerangnya menggunakan parang dan melarikan wang tunai RM10,000 di hadapan Teega Tower, Iskandar Puteri, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, susulan video tular itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah berjaya membuat tangkapan dua lelaki tempatan.
“Kita berjaya menahan seorang suspek di Horizon Hill pada pukul 10.15 pagi pada hari yang sama kejadian itu berlaku. Penahanan lelaki itu, membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek pada pukul 9 malam di Gelang Patah.
“Hasil siasatan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 40an mengaku terlibat bagi kes tersebut dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakannya menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahmat berkata, ekoran dari tangkapan tersebut pihak polis telah membuat beberapa rampasan termasuklah parang yang digunakan serta kenderaan
“Kedua-dua suspek tersebut ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan dijalankan. Kita percaya masih ada tiga lagi rakan suspek yang masih bebas,”ujarnya.
Terdahulu, tular video berdurasi dua minit 17 saat memaparkan insiden tersebut yang kelihatan tiga individu bersenjatakan parang menyerang mangsa yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda itu.
Mangsa yang merupakan peniaga atas talian itu mengalami kecederaan di bahagian kepala setelah ditetak mangsa berulang kali dilaporkan stabil setelah mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri.-KOSMO! ONLINE