MELAKA – Kehilangan peniaga, Steven Tan Kim Huat, 45, yang dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Beruang Hill di sini disifatkan luar biasa susulan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk setakat hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Abu Bakar Katain berkata, operasi pencarian meliputi 99 peratus kawasan pendakian yang seluas 40 hektar.
Walau bagaimanapun sehingga kini pasukan SAR yang melibatkan seramai 90 anggota dan tiga ekor Unit Anjing Pengesan (K9) masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa.
“Kita telah membuat pencarian di seluruh kawasan seluas 40 hektar dan hari ini kita melakukan semula pemeriksaan dengan lebih teliti di kawasan itu.
“Kes ini memang sedikit luar biasa kerana biasanya kita dapat menjejaki pendaki yang sesat kurang dua jam, tetapi kali ini tempoh pencarian mencecah 44 jam memasuki hari kedua,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Beruang, Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tambahnya, bomba menerima maklumat orang awam mengenai terdengar suara jeritan lelaki, namun pemeriksaan lanjut tidak menemui mangsa atau petanda berkaitan.
Ujarnya lagi, pasukan SAR turut meluaskan pencarian di 12 laluan yang tidak diiktiraf sebagai laluan mendaki bagi memastikan setiap kawasan diperiksa termasuk kawasan curam serta berbatu yang dikenal pasti.
Abu Bakar memberitahu, pihaknya dimaklumkan mangsa mempunyai masalah kesihatan dan dikhuatiri tidak dapat memberikan respons atau tindak balas terhadap panggilan yang dibuat.
Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga hilang selepas keluar mendaki seorang diri di bukit tersebut pukul 4.30 petang kelmarin. Kereta mangsa jenis Suzuki Swift ditemui di lokasi berkenaan.-KOSMO! ONLINE