SERDANG – Kerajaan akan memberi fokus utama dalam menambah baik terhadap dua bidang penting iaitu kesihatan dan pendidikan pada tahun ini dahulu ekoran kekangan kewangan negara yang berdepan defisit serta jumlah hutang yang banyak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, seperti mana yang dikongsikan beliau dalam Belanjawan 2023, kedua-dua bidang itu diberikan peruntukan lebih banyak untuk menyelesaikan masalah asas yang dihadapi.
Jelasnya, tindakan itu tidak bermakna bidang lain tidak diberikan keutamaan sebaliknya kerajaan mahu memfokuskan asas rakyat khususnya membabitkan prasarana sekolah dan klinik.
“Saya imbas sedikit tentang belanjawan negara, tahun ini kita tumpu sekolah dan kesihatan, apabila kekangan kewangan itu dengan hutang begitu banyak dan defisit, itu kita tidak boleh masalah dalam masa singkat.
“Jadi untuk tahun ini kita ambil langkah-langkah sangat tegas dan berani, belanja lebih tinggi untuk menyelesaikan masalah asas prasarana sekolah dan klinik kesihatan, perubatan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Pembukaan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya di Depot MRT Serdang, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE