PUTRAJAYA – Kadar kebolehpasaran graduan yang berjaya menamatkan pengajian di pusat-pusat latihan di bawah naungan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) secara puratanya mencapai antara 65 hingga 73 peratus.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peratusan tersebut merupakan data yang direkodkan dalam tempoh lima tahun dengan kadar kebolehpasaran terkini sehingga 28 Februari lalu mencatatkan sejumlah 69.5 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan selepas bergraduasi.
Menurut beliau, kebanyakan mereka yang menamatkan pengajian berjaya menceburkan diri dalam bidang agromakanan selain menjadi usahawan.
“Ada juga yang melanjutkan pelajaran namun lebih 70 peratus dapat pekerjaan, jadi itu tinggi lah dalam bidang ini (pertanian). Kalau kita lihat graduan yang mengambil kursus-kursus lain di universiti-universiti belum tentu dapat capai peratusan tersebut dalam keadaan ekonomi ketika ini.
“Yang bergraduasi dalam bidang penternakan, kita harap mereka terus berkecimpung dalam bidang sama kerana negara masih lagi mengimport 80 peratus daging lembu dan kambing jadi peluang ini masih terbuka luas untuk mereka yang ingin terlibat,”katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Konvokesyan Pertanian Kali Ke-11 Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.