PETALING JAYA – “Disclaimer : Rakaman ini dibuat sebelum Ju (Julia) bertudung”.
Demikian perkongsian pelakon, Juliana Farhana Marin yang seperti mengesahkan penampilannya kini yang sudah berhijab apabila memuat naik penjelasan berhubung hantaran terkininya dalam Instagram.
Kata pelakon berdarah campuran Melayu-Itali itu, hantaran tersebut membabitkan gambar lama ketika memenuhi tuntutan kerja promosi yang telah dipersetujui lebih awal.
Menerusi perkongsian video berkenaan menunjukkan kempen promosi barangan perabot serta dekorasi kediaman bersempena kedatangan Aidilfitri.
“Saya patuh kepada tanggungjawab terhadap kolaborasi ini mengikut hantaran yang sudah dijadualkan awal,” tulisnya memperjelaskan situasi.
Pada masa sama, aktres berusia 29 itu juga sudah memadam gambar-gambar lama sebelum bertudung, selain hanya meninggalkan gambar yang tidak menampakkan rambut.
Antaranya termasuklah foto bersama suami tercinta, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada hari pernikahan mereka serta gambar mengenakan sut pegawai maritim.
Sebelum ini, Julia ketika baharu sebulan mendirikan rumahtangga memaklumkan belum sedia bertudung, namun meminta orang ramai untuk terus mendoakannya.
Malah pelakon Coast Guard Malaysia itu mengakui bertuah dikurniakan suami yang memahami biarpun dia belum mampu menjadi isteri yang sempurna.
Julia dan Dr. Che Hafiz mengumumkan pernikahan mereka pada 14 Disember tahun lalu selepas dua minggu mereka disatukan.
Sementara itu, dalam ruangan komen ramai rakan artis dan peminat memuji penampilan baharu pelakon tersebut yang disifatkan semakin manis.
“Cantik,” kata pelakon Elisha Sandha.
“Suka tengok penampilan awak,” kata seorang pengikutnya. – KOSMO! ONLINE