fbpx

Janggal Safawi tidak bersama skuad Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAFAWI (kiri) yang kini mewakili kelab Ratchaburi pada saingan Liga Thailand tidak tersenarai dalam 27 pemain yang mewakili Harimau Malaya menentang Turkmenistan dan Hong Kong.

PEMERHATI arena sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengakui agak ‘janggal’ apabila nama pemain berpengaruh, Safawi Rasid tercicir dalam senarai panggilan skuad kebangsaan Harimau Malaya bulan ini.

Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan nama 27 pemain yang akan mewakili skuad negara untuk mengharungi dua aksi persahabatan menentang Turkme­nistan dan Hong Kong di Johor Bahru bermula minggu depan.

Namun, khidmat Safawi se­perti ‘digugurkan’ oleh ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon selepas hanya disenaraikan dalam senarai bersedia bersama 12 pemain lain.

Kata Pekan, Safawi wajar diberi peluang selepas bekerja keras sejak hujung tahun lalu untuk membantu skuad negara pada kempen Piala AFF 2022 dan terus beraksi secara kompetitif di Thailand.

“Saya rasa Safawi sepatutnya disenaraikan dalam panggilan skuad kebangsaan kali ini tetapi namanya hanya diletakkan dalam senarai menunggu.

“Secara peribadi, Safawi telah menunjukkan contoh yang bagus kerana berusaha keras untuk kembali pada prestasi sebenar. Kita boleh lihat dia beraksi dengan baik sepanjang Piala AFF 2022 yang lepas.

“Malah, Safawi juga tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan aksi Liga Thailand bersama kelab Ratchaburi sejak Januari lepas.

“Justeru, adalah tindakan yang wajar andai dia terus dikekalkan dalam skuad Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Pekan mahu semua pihak kekal positif dengan pemilihan Pan-gon kali ini meskipun ada kritikan dilemparkan kerana menyenaraikan pemain yang tidak memiliki minit permainan yang cukup.

“Kita perlu positif dengan pemilihan Pan-gon kerana ini adalah aksi persahabatan sahaja walaupun ada pemain yang tidak dapat minit permainan yang cukup dalam Liga Super masih lagi dipanggil.

“Kita tidak boleh jadikan ia sebagai isu kerana hak memilih terletak di tangan Pan-gon dan harap pasukan kali ini dapat membalas kepercayaan yang diberikan,” katanya.

Pasukan negara akan mula menjalani latihan pada Sabtu ini dan aksi kali ini sebagai salah satu fasa persiapan sebelum mengharungi kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI